Malaysia ditawar hak penganjuran Kejohanan Petanque Dunia 2026

Pemilihan Malaysia disokong oleh kemudahan bertaraf dunia seperti Arena Petanque Kuala Lumpur yang dibangunkan dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia ditawarkan hak penganjuran Kejohanan Petanque Dunia 2026 yang dirancang pada hujung September.
Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng berkata, bagaimanapun, keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan selepas perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Ini satu penghormatan yang luar biasa memandangkan Malaysia belum pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia sebelum ini.
"Kejohanan Dunia mengumpulkan pasukan terbaik dari lima benua, berdasarkan ranking dunia daripada edisi sebelumnya. Bagi Asia, hanya enam negara yang layak, jadi ia benar-benar mewakili tahap elit sukan ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemilihan Malaysia disokong oleh kemudahan bertaraf dunia seperti Arena Petanque Kuala Lumpur yang dibangunkan dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kita bersedia pada bila-bila masa kerana sudah mempunyai infrastruktur diperlukan. Memiliki fasiliti seperti ini di tengah-tengah ibu kota adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana tidak banyak negara memiliknya," katanya.
Ban Cheng berkata, cadangan penganjuran kejohanan itu juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan MBSF merancang untuk mendapatkan sokongan daripada KBS serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Beliau berkata, kira-kira RM1.3 juta diperlukan untuk menganjurkan Kejohanan Dunia memandangkan tuan rumah dikehendaki menanggung kos penginapan dan makanan bagi semua pasukan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Petanque dan Boules Dunia (WPBF), Claude Azema menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia untuk menganjurkan kejohanan berkenaan dengan jayanya.
"Saya datang ke sini untuk menilai sama ada negara ini mampu menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia dan saya yakin Malaysia mampu. Malaysia telah membuktikan kemampuannya melalui Sukan SEA dan acara-acara besar lain dan ini merupakan lokasi yang amat sesuai untuk kejohanan bertaraf dunia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


