IPOH: Malaysia mengekalkan dominasi boling padang rantau Asia apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-14 dan Bawah 25 Tahun (B-25) ke-12 2023 di Arena Lawn Bowls Perak, di sini, hari ini.

Turun dengan kelebihan tuan rumah, skuad negara menutup kempen dengan merangkul empat emas, dua perak dan dua gangsa gelaran Asia kesembilan.

Hari ini sahaja, pasukan negara berjaya menyapu tiga daripada empat emas yang dipertaruhkan, selepas meraih sebutir emas, dua perak dan satu gangsa pada sesi pertama yang berlangsung tiga hari lepas.

Filipina menamatkan saingan sebagai naib juara selepas merangkul tiga emas dan dua gangsa, diikuti India dengan satu emas, empat perak dan satu gangsa di tempat ketiga.

Pingat emas negara hari ini diperolehi menerusi acara single lelaki, fours lelaki, dan triples wanita.

Izzat Shameer Dzulkeple muncul juara single lelaki selepas menewaskan wakil dari India, Putul Sunawal dengan keputusan 21-6 pada final.

Fours lelaki negara terdiri daripada Muhammad Hizlee Abdul Rais, Amirul Daniel Abdul Rahim, Muhammad Haiqal Azami dan Mohammad Soufi Rusli turut mempamerkan aksi cemerlang pada final.

Mereka menundukkan fours Thailand, Naret Alangetuan, Saman Pollangeon, Pattawee Montien dan Thanakrit Thammasarn, 16-13 .

Trio, Nurul Alyani Jamil, Syafiqa Haidar Afif dan Azlina Arshad muncul juara acara triples wanita selepas menundukkan Rupa Rani Tirkey, Pinki dan Tania Choudhury dari India, 17-10.

Malaysia turut muncul juara keseluruhan kejohanan B-25 dengan memenangi acara mixed pairs.

Sebanyak lapan negara mengambil bahagian terdiri daripada Jepun, Hong Kong, India, Sri Lanka, Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia sebagai tuan rumah.

-- BERNAMA