Malaysia mampu melahirkan petarung hebat dalam sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA), kata Naib Presiden organisasi MMA terbesar di Asia, ONE FC, Rich Franklin.

Katanya sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam sukan ini juga mampu meletakkan Malaysia dalam peta dunia bagi MMA suatu hari nanti.

"Apa yang boleh saya lihat di sini ialah peserta Malaysia berbakat tinggi dan saya mahu melihat lebih ramai peserta tempatan tersenarai dalam pertarungan MMA," katanya selepas sesi 'Open Workout' ONE FC di Paradigm Mall, pada Jumaat.

Selain itu, beliau juga berkata peminat tempatan sukan ini perlu berterima kasih kepada Khairy kerana membawa kejohanan MMA seperti ONE Fighting Championship (ONE FC) ke negara ini.

Petarung-petarung MMA negara yang turut membuat penampilan serta demonstrasi di 'Open Workout' tersebut ialah Saiful Merican, Peter Davis, Gianni Subba dan Ella Tang.

ONE FC mengadakan promosi bagi kejohanan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur, 17 Oktober depan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

ONE FC: Roar of Tigers merupakan kejohanan yang kelima dianjurkan oleh ONE FC di Malaysia dan akan menyaksikan nama-nama seperti Ev Ting dan Raymond Tan beraksi dalam kejohanan tersebut.

Antara pencapaian terbesar negara tahun ini melalui sukan itu ialah menerusi Ann Osman, yang telah menjadi wanita Malaysia pertama menenangi pertarungan MMA profesional peringkat antarabangsa.

Malaysia pada Disember 2013 telah menubuhkan Persatuan Mixed Martial Arts Malaysia (MASMMAA) yang diterajui oleh presidennya, Jalludin Abu Hassan.

Persatuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bertujuan mempromosi, meningkatkan mutu serta menyelaras hal-hal berkaitan sukan MMA.