SUKAN
Malaysia perlu kekal berdaya saing, terus anjur acara mega seperti F1- Bekas CEO SIC

Malaysia masih berpotensi menarik minat penganjur F1 GP berikutan keunikan Litar Sepang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penganjuran acara mega seperti perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1 GP) penting untuk daya saing dan kedudukan global Malaysia namun untuk menganjurkannya semula memerlukan strategi nasional yang diselaraskan dengan baik.
Ringkasan AI
- Datuk Razlan Razali menegaskan penganjuran semula F1 GP penting untuk daya saing dan kedudukan global Malaysia, namun memerlukan strategi nasional yang diselaraskan serta pelaburan jangka panjang dengan pulangan ekonomi yang jelas.
- Beliau berpandangan pembangunan atlet dan penganjuran F1 GP tidak seharusnya dilihat sebagai keutamaan yang bersaing, sebaliknya kedua-duanya boleh dilaksanakan serentak dengan perancangan dan sumber yang betul.
- Malaysia masih berpotensi menarik minat penganjur F1 GP berikutan keunikan Litar Sepang, namun perlu bersaing dengan negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang lebih agresif dalam menjadikan acara mega sebagai sebahagian strategi pelancongan dan ekonomi.
Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 GP pertamanya pada 1999 dan menganjurkan acara itu sehingga 2017, apabila negara menarik diri berikutan kenaikan kos dan penurunan jualan tiket.
Pada masa itu, Razlan dan lembaga pengarah SIC mengesyorkan penganjuran direhatkan selama lima tahun. Sejak itu perlumbaan F1 GP telah berpindah di bawah naungan Liberty Media dan kembali meraih populariti menerusi program Drive to Survive Netflix.
"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk menimbangkannya semula, kerana F1 GP adalah produk yang lebih kukuh sekarang berbanding 2017. Tetapi ini bergantung kepada sama ada kerajaan mempunyai sumber dan rancangan yang serius," katanya.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh baru-baru ini menolak cadangan untuk menganjurkan kembali perlumbaan mega itu berikutan kos tinggi, yang katanya boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan atlet.
Razlan, bagaimanapun, berpendapat kedua-duanya itu tidak harus dilihat sebagai keutamaan yang bersaing.
"Kedua-duanya boleh dilakukan jika anda mempunyai sumber dan perancangan yang betul. Pembangunan atlet dan FI GP adalah dua perkara berbeza, anda melabur dalam kedua-duanya," katanya.
Menurutnya, jika Malaysia serius untuk kembali menganjurkan F1 GP, usaha itu perlu diterajui kerajaan, diselaraskan merentasi kementerian dan disokong oleh kajian impak ekonomi yang bebas.
"Jika anda hanya pergi kepada Kementerian Kewangan, jawapannya akan sentiasa tidak. Tetapi jika ada kemahuan serius, ia mesti dilakukan dengan betul dengan pulangan pelaburan yang jelas dan sekurang-kurangnya perjanjian lima tahun," katanya.
Walaupun Malaysia mempunyai litar ikonik Sepang dan pengalaman menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia, Razlan mengakui cabaran untuk bersaing dengan Singapura.
Namun, beliau percaya Malaysia masih kekal menarik kepada penganjur F1 GP.
"Peminat dan pemandu antarabangsa merindui (litar) Sepang. Saat Malaysia bersedia, Liberty Media pasti akan memberi perhatian. Lagipun segalanya adalah tentang wang dan pengaruh, tetapi ia mesti disokong oleh kemahuan dan perancangan," katanya.
Pada masa ini perlumbaan MotoGP adalah acara sukan antarabangsa terbesar Malaysia, menarik lebih 160,000 pengunjung ke Litar Sepang setiap tahun.
Singapura telahpun mengukuhkan dirinya sebagai destinasi utama perlumbaan F1 GP, manakala Thailand berhasrat menjadi destinasi bagi kedua-dua F1 GP dan MotoGP.
"Dulu kita menganjurkan kedua-dua F1 GP dan MotoGP. Kini, berbanding jiran, kita ketinggalan. Jika Malaysia mahu kekal kompetitif, acara mega antarabangsa mesti menjadi sebahagian daripada strategi pelancongan dan ekonomi kita. Jika tidak, kita berisiko ketinggalan," kata Razlan.
Beliau berkata walaupun ramai rakyat Malaysia masih merindui keterujaan menonton F1 GP, nostalgia tidak seharusnya menentukan keputusan.
"Ia (F1) adalah acara yang hebat dan Litar Sepang menawarkan perlumbaan dan tontonan yang amat menarik. Tetapi apa yang paling penting adalah pelaksanaan; ia perlu dilakukan dengan betul," katanya.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami