KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara perlu berwaspada berdepan laluan rumit pada saingan Piala Thomas 2024 selepas diundi dalam kumpulan sama dengan jaguh Eropah an juara edisi 2016, Denmark, yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 28 April hingga 5 Mei ini.

Menerusi undian secara maya yang dijalankan di China itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama Hong Kong (pilihan ke-12) dan Algeria.

Laluan itu dilihat sedikit 'berliku' buat pasukan negara selaku pilihan kelima kejohanan apabila pilihan kedua Denmark dan Hong Kong mempunyai pemain perseorangan yang mungkin 'mengganas' ketika beraksi pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu saingan Kumpulan A, menyaksikan pilihanm pertama China selaku tuan rumah dan juara edisi 2018 diletakkan bersama Korea Selatan, Kanada dan Australia.

Bagi Kumpulan B pula mempamerkan peluang seimbang untuk kesemua pasukan dengan Jepun selaku pilihan keempat kejohanan diundi bersama Taiwan, Jerman dan Republik Czech.

Dalam pada itu, Indonesia, juara 14 kali serta pilihan ketiga kejohanan berdepan laluan sukar apabila diundi bersama juara bertahan, India, Thailand dan England.

Sementara itu, bagi saingan Piala Uber, skuad wanita negara yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan terpaksa mengharungi laluan sukar dalam Kumpulan B apabila diletakkan bersama-sama pilihan keempat kejohanan Thailand, Taiwan (pilihan keenam) dan Australia.

Pasukan China yang merupakan pilihan pertama kejohanan diundi dalam Kumpulan A bersama India, Kanada dan Singapura.

Jepun, Indonesia, Hong Kong dan Uganda bakal berentap dalam Kumpulan C manakala juara bertahan Korea Selatan, Denmark, Amerika Syarikat dan Mexico diundi dalam Kumpulan D.

Skuad lelaki sebelum ini gagal menamatkan kemarau tiga dekad sejak kali terakhir menjuarai Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur dan tewas kepada India 2-3 dalam perlawanan suku akhir pada edisi lalu di Bangkok.

Kumpulan:

Piala Thomas:

A: China, Korea Selatan, Kanada, Australia

B: Jepun, Taiwan, Jerman, Republik Czech

C: Indonesia, India, Thailand, England

D: Denmark, Malaysia, Hong Kong, Algeria


Piala Uber:

A: China, India, Kanada, Singapura

B: Malaysia, Thailand, Taiwan, Australia

C: Jepun, Indonesia, Hong Kong, Uganda

D: Korea Selatan, Denmark, Amerika Syarikat, Mexico.

(Nota: Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan layak ke suku akhir)



-- BERNAMA