KUALA LUMPUR: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menyasarkan untuk menamatkan kempen Siri Asia 7's di kedudukan ketujuh terbaik bagi mengelakkan diri tersingkir daripada kejohanan yang dijadual berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 19-20 Nov ini.

Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata kejayaan menempatkan diri dalam kelompok tersebut memastikan pasukan negara dapat terus bersaing dalam kejohanan yang membariskan negara-negara kuasa besar antaranya Hong Kong, Jepun, China, Sri Lanka dan Korea Selatan.

"Misi pasukan adalah berada di kedudukan ketujuh terbaik memandangkan ini adalah kejohanan pertama selepas dua tahun, jadi kekal (dalam saingan) dan berada dalam kelompok lapan terbaik Asia adalah sasaran pasukan.

"Pemain semua mempunyai kekuatan tersendiri dan yang terpilih pada kejohanan kali ini kebanyakannya boleh bermain lebih daripada satu posisi," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Selepas menduduki tempat tercorot daripada keseluruhan lapan pasukan dan ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan edisi 2018, Malaysia kembali merampas slot ke Siri Asia 7's susulan kejayaan merangkul Trofi Asia 7's 2019.

Kali ini, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina dalam Kumpulan A kejohanan berkenaan yang menjadi pusingan Kelayakan Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah 2022 sementara Kumpulan B dibarisi pasukan tuan rumah, Jepun, Sri Lanka dan China.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir dan pasukan yang mara ke final layak bertanding di Piala Dunia Ragbi 7's dijadual pada September tahun depan di Cape Town, Afrika Selatan.

"Harapan saya adalah pasukan dapat memberikan persembahan terbaik dan juga bermain sehabis baik," kata Mohd Saizul sambil memaklumkan pasukannya dijadual berlepas ke UAE pada 17 Nov.

Berikut adalah senarai pemain skuad ragbi 7's lelaki dan wanita negara yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia pada Siri Asia 7's di UAE dari 19-20 Nov:

Pasukan Lelaki

1Muhammad Ameer Nasrun Zulkefli (Ketua Pasukan)
2Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi
3Muhammad Zulhisham Rasli
4Amalul Hazim Nasarrudin
5Muhammad Kamal Hamidi Mohd Raihan
6Muhammad Hasif Sharifuddin
7Hafizie Sudin
8Adam Ariff Alias
9Muhd Shah Izwan Nordin
10Muhammad Fuad Mohd Salleh
11Wan Azley Wan Omar
12Muhammad Safiy Md Said

Pasukan Wanita

1Euphrasia Anne Cralis (Ketua Pasukan)
2Cindy John Pasan
3Fidelia Limang Anak Telajan
4Wan Zufirah Mohd Nasir
5Josie Mavcellina Gone
6Norfarahana Abd Aziz
7Afiqah Fatinah Mohd Izan
8Nur Izzah Azizan
9Shania Suinani Baduk
10Nur Syazana Muhamad Zahir
11Maslina Ahmad Ismail
12Christina Edris