KUALA LUMPUR: Malaysia gagal membalas kekalahan kepada Oman di Muscat pada Jumaat lepas setelah sekali lagi tewas 0-2 dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2026.

Perlawanan pada Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil itu memperlihatkan Kim Pan Gon mempertaruhkan barisan ampuh namun masih belum mampu menandingi kekuatan pasukan dari Asia Barat itu.

Separuh masa pertama dilihat serba tidak kena buat Harimau Malaya meskipun Malaysia bermula garang dengan percubaan tepat Arif Aiman Hanapi pada minit kedua permainan. 

Oman yang beberapa kali menyerang akhirnya menjaringkan pol pertama menerusi Omar Al-Malki pada penghujung babak pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48.

Penalti diberikan kepada Oman selepas penjaga gol Malaysia, Ahmad Syihan Hazmi menjatuhkan Muhsen Saleh dalam kotak penalti.

Separuh masa pertama, perlawanan banyak dikuasai pasukan pelawat dengan Ahmad Syihan muncul wira Harimau Malaya, menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga percubaan berbahaya.

Separuh masa kedua pula, permainan dilihat milik Malaysia dengan beberapa cubaan berbahaya dilancarkan ke gawang Oman yang dikawal Ibrahim Saleh Al Mukhaini.

Kemasukan Brendan Gan dan Endrick Dos Santos berjaya mengubah corak permainan pasukan bimbingan Pan Gon yang dilihat lebih teratur ketika menyerang dan bertahan.

Asakan bertubi-tubi pasukan kebangsaan bagaimanapun dihukum pada penghujung perlawanan apabila Oman menambah gol kedua pada minit ke-94 menerusi Mohamed Mubarak Al-Ghafri.

Gol tersebut ternyata mengecewakan lebih 20,000 penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tamat perlawanan, Malaysia 0 - 2 Oman.