Malaysia tersingkir daripada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2019 selepas tumpas 0-3 kepada juara bertahan, Jepun dalam aksi suku akhir di Hong Kong, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Jepun akan berdepan Indonesia pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu.

Indonesia mara dalam kelompok empat pasukan terbaik itu setelah menewaskan Singapura 3-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pada perlawanan Jumaat, berlangsung di Stadium Queen Elizabeth, Jepun mendahului selepas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi mengalahkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani; 19-21, 21-16 dan 21-15 dalam acara beregu lelaki, demikian menurut laman sesawang Badminton Asia; www.badmintonasia.org.

Pemain nombor 22 dunia, Aya Ohori memberikan mata kedua kepada Jepun selepas mengatasi Ho Yen Mei; 21-9 dan 25-23 dalam acara perseorangan wanita, sebelum pemain nombor 15 dunia, Kanta Tsuneyama memastikan kemaraan Jepun ke separuh akhir setelah menumpaskan Cheam June Wei; 13-21, 23-21 dan 21-15 dalam kategori perseorangan lelaki.

Untuk rekod, Malaysia mara ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan D di belakang China.

-- BERNAMA