JUARA Liga Perdana Inggeris, Manchester City muncul juara Perisai Komuniti selepas menang menerusi penentuan penalti menewaskan Liverpool 5-4 di Stadium Wembley, pada Ahad.

Manchester City yang juga merupakan juara Piala FA, mendahului permainan pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain sayap Raheem Sterling pada minit ke-12.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pasukan 'The Reds' itu berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan tepat Joel Matip pada minit ke-77.

Permainan berlangsung sengit hingga ke minit ke-90 di mana kedudukan menjadi terikat 1-1.

Perlawanan seterusnya dibawa ke sepakan penentuan penalti yang menyaksikan Man City menang dengan keputusan penuh 5-4.

Bagi penentuan penalti tersebut, gol-gol Liverpool telah dijaringkan oleh Xherdan Shaqiri, Adam Lallana, Alex Oxlade-Chamberlain, Mohamad Salah.

Manakala gol-gol Man City pula dijaringkan oleh Ilkay Gundogan, Bernardo Silva, Phil Foden, Oleksandr Zinchenko dan Gabriel Jesus.

Sepakan dari pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum yang gagal kerana telah diselamatkan penjaga gol City, Claudio Bravo menghadiahkan kemenangan kepada skuad kendalian Pep Guardiola itu.