Manchester United dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini, selepas menewaskan Aston Villa tiga kosong di Old Trafford pagi Selasa.

Jaringan hatrik oleh penyerang berbisa mereka, Robin Van Persie pada separuh masa pertama sudah cukup buat United untuk meraih kejuaraan kali ke-20 sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kelab yang paling berjaya di England.

Kejayaan ini cukup manis buat United apatah lagi berjaya merampas kembali kejuaraan BPL daripada jiran mereka, Manchester City.

Kemenangan selesa itu membolehkan United memungut 84 mata selepas 34 perlawanan, 16 mata di hadapan City dengan berbaki empat perlawanan.

Selepas ini, United akan berkunjung ke Stadium Emirates untuk menentang Arsenal.

Majlis penyerahan trofi BPL akan dilangsungkan di Old Trafford pada perlawanan menentang Swansea 12 Mei ini.