KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengakui risau dengan barisan pemain terhad yang dimilikinya menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata kebimbangan itu susulan masalah keletihan dan kecederaan yang dialami anak buahnya selepas mengharungi jadual yang padat iaitu tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari.

Beliau berkata setakat ini, lima tonggak utamanya di bahagian pertahanan dan sayap terpaksa direhatkan daripada menjalani latihan akibat kecederaan yang agak serius.

"Saya terima laporan bahawa Sony Norde, Engku Muhammad Nur Shakir, Nor Hakim, Nik Muhammad Sharif Haseefy dan Shahrul Nizam direhatkan.

"Saya tidak tahu berapa ramai pemain akan diganti untuk perlawanan menentang Selangor, kami belum putuskan lagi. Tetapi saya harapkan perlawanan yang bagus daripada pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Sehubungan itu, Steinbruckner yang lebih mesra dengan panggilan Tomi mengingatkan skuad Penyu terutama pemain muda supaya memberi tumpuan penuh pada perlawanan di laman sendiri itu nanti.

Menurut beliau, kejayaan TFC menewaskan skuad The Red Giants dalam dua perlawanan Piala Malaysia sebelum ini tidak boleh dijadikan jaminan untuk pemain berasa selesa dan mengambil mudah pihak lawan.

"Kami kehilangan ramai pemain kerana kecederaan. Selangor FC mempunyai dua pasukan ... dan kita harus bimbang dengan keadaan itu," katanya.

TFC kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan 35 mata, manakala skuad bimbingan Tan Cheng Hoe di kedudukan kedua dengan 49 mata.

-- BERNAMA