SPORTS
Maybank Challenge Cup 2025: United tumpul, tersungkur di Bukit Jalil

Manchester United terpaksa akur apabila tumpas 0-1 di tangan ASEAN All Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Manchester United terpaksa akur apabila tumpas 0-1 di tangan ASEAN All Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, di hadapan lebih 75,000 penyokong yang membanjiri venue ikonik itu.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mg Mg Lwin pada minit ke-70 selepas menerima hantaran cantik daripada Adrian Segecic.
Pemain Myanmar itu melepaskan rembatan rendah kaki kanan yang menewaskan penjaga gol United untuk memberi kelebihan kepada skuad gabungan Asia Tenggara.
Sorakan bergema mengiringi kemasukan skuad United ke dalam padang, dengan penyokong tempatan teruja menyaksikan barisan bintang mereka dari dekat.Sepakan mula dimulakan oleh penyerang utama Rasmus Højlund, membuka tirai kepada aksi yang penuh intensiti sejak awal.
Pada minit ke-3, Patrick Dorgu hampir meletakkan United di depan hasil hantaran silang cantik Diogo Dalot, namun tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol ASEAN, Patiwat Khammaiz
Tiga minit kemudian, Nguyen Hai Long mempamerkan aksi individu menarik dengan menewaskan Ayden Heaven, namun rembatannya tersasar.
Minit ke-16 menyaksikan Amani Aguinaldo hampir mengejutkan benteng United selepas bola muntah hasil kekeliruan di kotak penalti, tetapi sepakan kaki kirinya tinggi melewati palang.
Walaupun United menguasai penguasaan bola menjelang pertengahan babak pertama, pasukan bimbingan Sang Sik Kim beberapa kali mengancam menerusi serangan balas pantas di bahagian sayap.
Perubahan pertama United berlaku pada minit ke-32 dengan empat pemain dimasukkan, termasuk Shea Lacey dan Sekou Kone.
Babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Antara aksi dalam babak perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu malam. - Bernama
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan melakukan pertukaran besar-besaran.
Manchester United memperkenalkan nama-nama besar seperti Bruno Fernandes, Amad Diallo, dan Alejandro Garnacho, sementara ASEAN All Stars menggantikan beberapa pemain termasuk pertahanan Declan Lambert.
Selepas minit ke-60, United mula menunjukkan peningkatan dengan gerakan pantas Garnacho dan Amad menguji benteng lawan.
Namun, jaringan Mg Mg Lwin membungkam penyokong Red Devils.
Tersentak dengan jaringan itu, United melancarkan serangan demi serangan.
Jim Thwaites hampir menyamakan kedudukan dengan voli satu sentuhan namun bola melambung tinggi.
Amad Diallo turut mencuba melakukan lob melepasi penjaga gol, namun jaringan dibatalkan kerana offside.
Pada minit ke-85, Segecic hampir menggandakan kelebihan pasukan ASEAN All Stars, tetapi percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol simpanan United.
Garnacho mencuba usaha terakhir pada minit ke-88 tetapi sepakannya melewati tiang.
Empat minit masa tambahan diberikan dan Segecic sekali lagi mencipta detik cemas, namun dibentes dari belakang sebelum sempat melepaskan rembatan.
Ketika wisel penamat ditiup penyokong mula mencemuh pemain United menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pasukan mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami