MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dan menangani isu melibatkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias yang tampak berterusan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap badan induk tersebut di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pucuk pimpinan MOM menyifatkan kenyataan terbaharu Suhardi yang dikeluarkan pada 19 November 2023 sebagai di luar bidang kuasanya, khususnya apabila menyentuh prestasi dan pencapaian atlet di bawah naungan persatuan sukan kebangsaan (NSA).

“Kenyataan terbaharu Suhardi jelas menunjukkan apa yang tersimpan dalam lubuk hatinya, bahawa beliau ada niat untuk mengambil tindakan terhadap MOM di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Suhardi bukan sahaja enggan memohon maaf atas kata-kata beliau yang menyamakan MOM dengan Kerajaan Israel tetapi juga menyentuh pencapaian dan prestasi atlet di bawah naungan kami, sedangkan bidang kuasa PJS terhad kepada perundangan berkaitan pendaftaran dan pembatalan atau penggantungan badan sukan yang berdaftar di bawah Akta 576.

“Kedegilan Suhardi ini memberi isyarat bahawa beliau sudah memukul gendang perang dengan MOM dan ahli gabungan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Nazifuddin, MOM menghormati kedudukan Suhardi sebagai Pesuruhjaya Sukan yang bidang kuasanya luas mengikut Akta 576.

"Namun harus diingat, akta yang digubal di Parlimen bukan milik individu yang boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya, apatah lagi terhadap MOM yang memayungi 58 persatuan sukan kebangsaan.

“Andai kebiadaban Suhardi berterusan, MOM berpegang kepada Piagam IOC yang menuntut mana-mana NOC untuk mempertahankan kuasa autonomi dan melawan sebarang bentuk tekanan, tetapi tidak terbatas kepada tekanan politik, perundangan, agama dan ekonomi," katanya.

Mengenai kenyataan Suhardi yang berkata bahawa MOM tertakluk kepada Seksyen 8 dan 9 Akta Pembangunan Sukan, menurut Nazifuddin, ia berniat jahat kerana selama ini MOM mematuhi semua peraturan mesyuarat serta perlembagaan MOM yang diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) oleh IOC.

“MOM memahami kandungan Akta 576 yang membuatkan kami bekerjasama rapat dengan semua agensi Kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Majlis Sukan Negara (MSN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPJS) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menguruskan penyertaan Kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan antarabangsa serta hal ehwal pendaftaran ahli gabungan dan persatuan sukan kebangsaan,” tegas Nazifuddin.

Mohd Nazifuddin menambah kenyataan terbaharu Suhardi turut memperlihatkan kedegilan beliau mengambil pendekatan konfrontasi yang tidak seiring dengan semangat musyawarah yang ditekankan oleh Hannah sejak beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada November tahun lalu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian