TOKYO: Jepun merangkul satu lagi pingat emas pertama dalam acara papan selaju wanita menerusi atlet berusia 13 tahun, Momiji Nishiya.

Momiji berjaya menyempurnakan tiga cubaan berturut-turut dalam saingan Best Trick untuk mengutip 15.26 mata keseluruhan pada aksi final, tengah hari tadi.

Saingan final menyaksikan tiga peserta remaja menguasai podium, apabila wakil Brazil, Rayssa Leal, 13, meraih pingat perak sementara peserta tuan rumah, Funa Nakayama memperoleh gangsa.

Leal, juara Street League Los Angeles 2019 merupakan salah seorang daripada tiga peserta pilihan dari Brazil.

Dia, bagaimanapun, gagal dalam cubaan Best Trick yang terakhir untuk memintas kedudukan Momiji.

Kejayaan Momiji membaiki pencapaiannya mendapat perak pada Kejohanan Dunia Street Skateboarding di Rom pada Jun.

Rakan senegaranya, Funa, 16, pula mencipta kejutan dengan menduduki tempat pertama dalam pusingan kelayakan, namun gagal menyerlah dalam saingan Best Trick.

Amerika Syarikat sekali lagi hambar dalam sukan ciptaan negara itu apabila wakilnya, Alexis Sablone, gagal menyerlah di final.

Sablone, 34, menamatkan saingan di tempat keempat dengan 13.57 mata.

Nasib juga tidak menyebelahi atlet Belanda, Roos Zwetsloot di final apabila jatuh dari kedudukan pertama menuju ke saingan Best Trick.

Zwetsloot mengutip mata tertinggi pada saingan run, 3.34 dan 3.80, namun gagal menyempurnakan empat cubaan dalam saingan Best Trick untuk menambah mata.

Atlet China, Zeng Wenhui, 16, mendapat tempat keenam, sementara peserta tunggal Asia Tenggara, Margielyn Didal dari Filipina di tempat ketujuh dan juara kejohanan dunia di Rom, Aori Nishimura dari Jepun di tempat kelapan.

Kategori wanita ini turut menyaksikan dua peserta pilihan dari Brazil, Pamela Rosa dan Leticia Bufoni gagal melepasi peringkat kelayakan.

Acara papan selaju diteruskan dengan saingan Park Lelaki dan Wanita pada 4-5 Ogos.