Moto3: Hakim Danish layak automatik ke Q2 selepas catat masa ke-11 terpantas

Hakim Danish merakamkan 2 minit 11.820 saat (s), hanya 0.668s di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda yang muncul pelumba terpantas dengan catatan 2:11.152s. - Gambar/ Bernama
SEPANG: Pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli terus membuktikan keupayaannya apabila layak secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) selepas mencatatkan masa ke-11 terpantas dalam sesi latihan kelas Moto3 pada Kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba wildcard negara bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI itu merakamkan 2 minit 11.820 saat (s), hanya 0.668s di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda yang muncul pelumba terpantas dengan catatan 2:11.152s.
Rakan sepasukan Rueda, Alvaro Carpe melakukan catatan kedua terpantas manakala juara Red Bull Rookies Cup musim ini yang juga pesaing Hakim Danish, Brian Uriarte muncul ketiga terpantas.
Dengan keputusan itu, pelumba kelahiran Terengganu berusia 18 tahun itu muncul antara 14 pelumba terbaik daripada 27 peserta yang layak beraksi di Q2 esok.
Terdahulu pada sesi latihan pertama sebelah pagi, Hakim Danish menunjukkan prestasi cemerlang apabila merakamkan masa kelapan terpantas dengan catatan 2:11.317s, dalam saingan yang diungguli pelumba Frinsa-MT Helmets-MSI, Angel Piqueras dengan masa 2:10.979s.
Bercakap selepas sesi latihan, Hakim Danish melahirkan rasa gembira dengan pencapaiannya dan bertekad memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan bagi membolehkannya bermula di kelompok hadapan pada perlumbaan sebenar Ahad ini.
"Untuk hari pertama ini, saya tidak menjangka mampu mencapai keputusan seperti ini. Setiap pusingan saya kekal fokus dan terus menekan untuk berada dalam kelompok terbaik.
"Bagi sesi kelayakan esok, saya perlu memperbaiki catatan masa supaya lebih mudah berada di kedudukan terbaik ketika perlumbaan sebenar nanti," katanya.
Mengulas lanjut, pelumba muda itu enggan mendedahkan sasaran khusus pada sesi kelayakan namun menegaskan akan berusaha memberi tentangan sengit kepada barisan pelumba handalan Moto3.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


