KUALA LUMPUR: Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) telah disahkan sebagai ahli rasmi baharu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Perkara itu disahkan oleh Presiden ASTAF Abdul Halim Kader yang turut berkongsi sijil keahlian kepada Bernama yang ditandatanganinya bersama Setiausaha Agung ASTAF Boonchai Lorhpipat hari ini.

"Ini mengesahkan bahawa Konfederasi Sepak Takraw Malaysia adalah ahli penuh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi tahun 2022 selaras dengan Perlembagaan ASTAF.

"Keahlian ASTAF akan diperbaharui secara automatik setelah menerima yuran keahlian tahunan, dengan syarat ahli mematuhi kewajipan yang dinyatakan dalam Perlembagaan ASTAF," menurut sijil tersebut.

Khamis lepas, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.

Perkembangan itu disahkan Abdul Halim pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Eksekutif badan induk sepak takraw Asia itu, yang berlangsung secara dalam talian pada 2 Mac, selepas pihaknya menerima salinan surat sokongan daripada dua entiti itu.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021 susulan tindakan Presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb tahun lepas.

Ahmad, yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun tahun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.

Namun ASTAF baru-baru ini mengesahkan ia tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan ISTAF, sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Abdul Halim dan Boonchai dalam kenyataan bersama berkata terdapat beberapa resolusi yang telah diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ASTAF melibatkan kemasukan MSC sebagai ahli baru mereka semalam.

Resolusi itu termasuk menukar nama MSC kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia dengan kelulusan Pesuruhjaya Sukan dan mengiktirafnya sebagai satu-satunya badan pengawal sukan itu di Malaysia.

"ASTAF dengan ini mengalu-alukan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia ke dalam keluarga ASTAF dan kami berharap ini akan menjadi permulaan era baharu bagi sepak takraw di Malaysia dan Asia," menurut Abdul Halim dan Boonchai.

-- BERNAMA

-- BERNAMA