SUKAN
MSN pulihkan reputasi LTdL, masa depan kontrak masih jadi tanda tanya

MSN dilihat berjaya memulihkan reputasi LTdL, namun setakat ini belum ada kepastian sama ada mandat akan disambung atau dikembalikan semula kepada pihak swasta. - Gambar fail
LANGKAWI: Tiga tahun lalu, penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) berdepan cabaran besar dari segi kewangan, operasi dan persepsi umum, sehingga ada yang beranggapan perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu tidak lagi relevan dalam kalendar sukan negara.
Ringkasan AI
- LTdL yang sebelum ini berdepan cabaran kewangan dan persepsi negatif telah dipulihkan oleh MSN sejak 2023, dengan penganjuran lebih tersusun, penggunaan teknologi moden dan pendekatan mesra rakyat seperti kayuhan santai serta program promosi nilai tambah.
- MSN berjaya menghapuskan isu teknikal dan kelewatan bayaran yang menjejaskan reputasi LTdL sebelum ini, serta memastikan dana kerajaan dan penajaan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa berorientasikan keuntungan.
- LTdL bukan sahaja kekal relevan sebagai acara sukan antarabangsa, malah memberi impak ekonomi besar kepada rakyat melalui kontrak tempatan dan sektor perkhidmatan, namun masa depan penganjuran selepas tamat kontrak MSN masih belum diputuskan.
Tahun ini menandakan musim ketiga dan terakhir kontrak MSN sebagai penganjur, dengan persoalan mengenai kesinambungan kerjasama itu masih belum terjawab.
Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata, sepanjang tiga tahun di bawah MSN, penganjuran menampilkan banyak pembaharuan terutama dari sudut teknikal.
Penggunaan teknologi moden seperti sistem komunikasi radio terkini dan liputan langsung melalui LiveU serta Starlink menjadikan siaran lebih lancar dan berpatutan.
"Dalam tiga tahun ini banyak perubahan berlaku. LTdL diperkaya dengan pelbagai aset, program promosi nilai tambah, pertandingan untuk rakyat, Voice of LTdL serta kayuhan santai (amateur ride)," katanya kepada Bernama.
Beliau menambah, kelebihan MSN adalah sifatnya yang tidak berorientasikan keuntungan, sekali gus memastikan setiap sen dana kerajaan dan penajaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan mutu penganjuran.
Malah, MSN juga berjaya menepis persepsi negatif LTdL yang sebelum ini terpalit isu teknikal, kelewatan bayaran dan masalah penganjuran yang menjejaskan reputasi perlumbaan yang pernah melahirkan ramai bintang dunia.
"Apa pun jumlah kewangan yang kita dapat, sama ada daripada geran kerajaan atau penaja, semuanya digunakan untuk menjadikan perlumbaan lebih menarik.
"Kalau ada isu dari tahun-tahun sebelumnya, MSN tampil sebagai problem solver dengan solusi baharu. Jadi, tanggapan yang tidak relevan terhadap LTdL kini semakin pudar," katanya.
Selain menjadi perlumbaan berprestij, LTdL turut berperanan sebagai pemangkin ekonomi.
Menurut Emir, limpahan ekonomi jauh mengatasi kos yang ditanggung kerajaan.
"Contohnya pada 2024, kerajaan menyalurkan RM12 juta dan kita berjaya memperoleh penajaan RM12 juta juga, tetapi limpahan ekonomi kepada rakyat mencecah kira-kira RM24 juta," katanya.
"Impak itu dirasai melalui peluang kontrak kepada syarikat tempatan, tempahan hotel, perniagaan dan sektor perkhidmatan lain," tambahnya.
Walaupun kejayaan penganjuran tiga tahun terakhir tidak dinafikan, persoalan besar kini ialah masa depan kontrak penganjuran LTdL.
MSN dilihat berjaya memulihkan reputasi perlumbaan itu, namun setakat ini belum ada kepastian sama ada mandat akan disambung atau dikembalikan semula kepada pihak swasta.
Apa juga keputusan kelak, transformasi LTdL di bawah MSN jelas telah mengembalikan semangat perlumbaan berprestij ini.
Lebih penting, ia membuktikan LTdL masih relevan -- bukan sahaja sebagai acara sukan antarabangsa, tetapi juga sebagai penggerak ekonomi dan penyatu rakyat Malaysia di jalan raya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami