GARY Neville melabel kapten Manchester United, Bruno Fernandes, sebagai "memalukan" sementara Roy Keane berkata, pemain Erik ten Hag harus bersembunyi selepas kekalahan 7-0 oleh Liverpool.

Tiga penyerang utama Liverpool -- Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Darwin Nunez -- masing-masing menjaringkan dua gol dengan pemain gantian, Roberto Firmino, turut menambah luka lawan mereka itu. .

Ia merupakan kemenangan terbesar Liverpool ke atas United dan ia berlaku tatkala berdepan pelawat yang masih segar memenangi Piala Liga Inggeris (EFL), minggu lalu.

Sekiranya kejayaan di Wembley itu menunjukkan masa depan yang cerah, aksi di Merseyside sebentar tadi sewajarnya mengejutkan mereka daripada lena. 

Justeru, legenda United iaitu Neville dan Keane, enggan melahirkan sebarang simpati.

Neville yang terkejut dengan keputusan itu berkata selepas perlawanan: "Saya tidak fikir mereka tidak faham tentang bahang perlawanan ini, apabila anda melepaskan gol dan sorakan penyokong bergema, ia boleh menelan anda hidup-hidup dan itulah yang berlaku hari ini. Barisan Manchester United ini telah dimakan hidup-hidup dalam separuh masa kedua."

Neville mengecam benteng United yang dianggapnya huru-hara serta mengerikan, bahkan di kedudukan 0-3 dia berkata pelawat seakan-akan sudah hilang arah tuju. 

Di kedudukan 0-4, Neville berkata bintang berpengalaman United bermain seperti budak sekolah.

“Persembahan babak kedua cukup memalukan,” katanya di Sky Sports.

“Saya fikir kapten, Bruno Fernandes, telah bertindak memalukan pada masa-masa tertentu.

"Ia bukan persembahan biasa mereka, ia bukan semangat biasa mereka, ia bukan prestasi biasa mereka dan saya pasti Ten Hag akan menanganinya dengan segera, sebagaimana ketika dia berhadapan dengan situasi sukar lain musim ini."

Keane pula mengkritik: "Anda boleh menggunakan semua perkataan seperti memalukan terhadap pemain senior. 

"Mereka tidak menunjukkan sebarang kemahiran kepimpinan, gol yang mereka lepaskan sangat mengejutkan.

"Syukurlah saya tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan Man United yang pernah dikalahkan seperti ini.

"Pemain wajar berasa malu dan tidak syak lagi akan berasa terhina dengan persembahan mereka, terutama aksi separuh masa kedua apabila perlawanan menjadi sukar tetapi kelibat mereka hilang hingga melepaskan jaringan yang sebegitu banyak.

* Artikel asal disiarkan di Stadium Astro.