Ratu skuasy negara Datuk Nicol David melepasi halangan pertama Siri Dunia Akhir 2013 apabila menang mudah dalam perlawanan kumpulan di London, hari ini.

Pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun itu mengalahkan Annie Au dari Hong Kong 11-7, 11-4 dalam perlawanan pertamanya dalam Kumpulan A di The Queens Club.

Perlawanan pada kejohanan itu ditentukan dalam tiga set.

Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Laura Massaro dari England mengatasi Natalie Grinham dari Belanda 11-8, 11-8.

Nicol akan menentang Massaro dalam perlawanan kedua kumpulan esok.

Pada perlawanan Kumpulan B, empat pemain akan bertarung sesama sendiri iaitu Raneem El Weleily, Nour El Sherbini, kedua-dua dari Mesir, Jenny Duncalf (England) dan pemain Perancis, Camille Serme.