TIGA personaliti legenda sukan negara akan membarisi jawatankuasa Road To Gold (RTG) bagi membantu negara mencapai matlamat memenangi pingat emas Olimpik yang pertama buat Malaysia.

Mereka ialah legenda skuasy Datuk Nicol Ann David, legenda badminton Datuk Lee Chong Wei, dan legenda hoki Datuk Mirnawan Nawawi.

Mereka dipilih berdasarkan kepakaran serta pengalaman yang tidak ternilai dan menjadi jambatan kukuh di antara Jawatankuasa dengan atlet Road to Gold yang dipilih.

Jawatankuasa yang baru ditubuhkan itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria.

Jawatankuasa Road to Gold akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang bertujuan untuk persediaan atlet elit.

Kerjasama ini merangkumi latihan harian, pendedahan antarabangsa, perkhidmatan jurulatih, kakitangan sokongan, sains sukan, dan perkhidmatan perubatan, dengan matlamat menghapuskan sekatan dan menyediakan sokongan tambahan kepada atlet-atlet yang berpotensi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik pada dua kitaran akan datang.

Jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Bagi Sukan Paralimpik pula, program emas para atlet diteruskan di bawah Program Podium di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain tiga legenda sukan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League Datuk Stuart Ramalingam yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengurusan MSN turut dilantik sebagai Penyelaras Projek RTG, dibantu oleh Michelle Chai, yang mempunyai pengalaman luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa.

Semua pelantikan adalah atas dasar sukarela sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara (nation-building) secara kolektif.

Jawatankuasa ini juga akan secara aktif membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasional utamaini.


Berikut senarai pasukan Road to Gold 2024-2028:

Pengerusi bersama
Hannah Yeoh
Tan Sri Norza Zakaria
Datuk Hamidin Mohd Amin (Ahli Majlis FIFA, Chef de Mission)
Datuk Nicol Ann David (Timbalan Chef de Mission)


Penyelaras Projek RTG
Datuk Stuart Ramalingam


Pembantu Penyelaras Projek
Michelle Chai


Ahli Jawatankuasa
Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan
Ahmad Faedzal Mohd Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN)
Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak
Datuk Lee Chong Wei
Datuk Mirnawan Nawawi