KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membuat pusingan U untuk terus kekal memegang tampuk kepimpinan badan induk itu.

Beliau berkata pertimbangan semula itu dibuat selepas mendapat saranan daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang meminta beliau terus memegang jawatan berkenaan, Selasa lepas.

"Selepas meneliti dan maklum balas kepada galakan yang diterima daripada menteri serta perbincangan panjang lebar bersama ahli Majlis BAM, saya memutuskan untuk kekal sebagai Presiden BAM.

"Keputusan ini dibuat bagi memastikan kestabilan dan tumpuan semasa fasa kritikal terutama persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2024 Paris tahun depan. Matlamatnya masih jelas, iaitu bekerja secara kolektif ke arah memenangi emas untuk Malaysia di Paris," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.

Mohamad Norza yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) berkata penting untuk beliau kekal sebagai presiden BAM kerana kem badminton lazimnya menjadi blok utama atau majoriti atlet negara ke Sukan Olimpik.

Menurut Mohamad Norza, ahli Majlis BAM juga sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan jawatan presiden itu terlebih dahulu walaupun beliau dijadualkan menamatkan penggalnya pada 2025 sebelum mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebelum ini.

"Sudah tentu tumpuan sehingga Sukan Olimpik tetapi pada masa ini ahli majlis tidak mahu saya nyatakan bila, jadi kita biarkan sahaja. Apabila saya putuskan untuk umumkan (kekal sebagai Presiden BAM), saya mendapat tepukan gemuruh (daripada ahli Majlis BAM), mereka semua menunjukkan sokongan apabila saya mahu meneruskannya," katanya.

Pada Julai lepas, Mohamad Norza mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris, namun mengejutkan ramai pihak apabila mahu melepaskan jawatannya penghujung tahun ini.

Spekulasi mengenai jawatan tertinggi BAM terjawab Oktober lepas setelah ahli Majlis sebulat suara bersetuju melantik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden BAM baharu.

Sementara itu, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata beliau telah berhubung dengan Tengku Zafrul mengenai perkara berkenaan dan Tengku Zafrul faham mengenai situasi semasa.

"Beliau (Tengku Zafrul) juga mempunyai pendapat yang sama bahawa BAM perlu diserahkan kepada beliau apabila tiba masanya," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam melahirkan penghargaan atas kesudian Mohamad Norza yang memutuskan untuk kekal sambil menyifatkan Mohamad Norza sebagai 'bos' yang komited dan bukan sekadar 'memanaskan kerusi' presiden.

-- BERNAMA