Ole Gunnar Solskjaer beri isyarat sedia kembali ke Manchester United

Sepanjang tempohnya, Solskjaer membawa United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam, ketiga dan kedua, sebelum khidmatnya ditamatkan pada 2021.
Gambar: Reuters
PENCARIAN Manchester United bagi pengurus baharu kini bermula susulan pemecatan Ruben Amorim, dengan bekas pengendali kelab, Ole Gunnar Solskjaer, dilaporkan bersedia untuk kembali ke Old Trafford sebagai pengurus sementara.
Perkembangan itu disahkan oleh wartawan terkemuka, Fabrizio Romano.
Amorim dilepaskan daripada jawatan selepas kemarahan terbuka yang dipamerkannya susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad lalu, yang dianggap sudah melampaui batas oleh pihak pengurusan tertinggi kelab.
Buat sementara waktu, bekas pemain tengah United dan ketua jurulatih skuad bawah 18 tahun, Darren Fletcher, telah dilantik sebagai pengurus interim dan akan berada di bangku simpanan untuk perlawanan menentang Burnley pada Rabu ini.
Sebelum ini, David Ornstein melaporkan bahawa Manchester United berkemungkinan menunggu sehingga akhir musim untuk melantik pengurus tetap baharu, sekali gus membuka ruang kepada Fletcher untuk mengemudi pasukan sehingga tamat kempen semasa.
Jurulatih dari Norway itu pernah mengambil alih United pada Disember 2018 dalam kapasiti sementara sebelum diberikan kontrak tiga tahun hasil prestasi cemerlang pasukan ketika itu.
Sepanjang tempohnya, Solskjaer membawa United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam, ketiga dan kedua, sebelum khidmatnya ditamatkan pada 2021.
Sehingga kini, beliau kekal sebagai figura popular dalam kalangan penyokong.
Menurut laporan tersebut, Solskjaer terbuka untuk kembali membantu United sehingga akhir musim, walaupun masih belum jelas sama ada namanya akan disenaraikan secara rasmi dalam senarai pendek calon kelab.
Sokongan terhadap kemungkinan kepulangannya turut disuarakan oleh ramai penyokong The Red Devils.
Romano turut menguatkan laporan berkenaan dengan menyatakan bahawa Solskjaer menunjukkan minat untuk mengambil alih jawatan pengurus sementara tanpa mengira tempoh kontrak.
Pada masa sama, pihak kelab masih berhati-hati dan mengambil masa untuk menilai semua calon yang berpotensi.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber dalaman mendedahkan pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, kini menjadi pilihan utama Manchester United bagi jawatan pengurus tetap.
Namun, jurulatih dari Austria itu dijangka menamatkan kontraknya bersama Palace terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan cabaran baharu.
Sekiranya United memilih untuk menunggu sehingga akhir musim dan memerlukan perubahan di posisi pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer dilihat sebagai calon ideal untuk menstabilkan pasukan dan membantu kelab mencapai sasaran penamat enam teratas liga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


