Pasukan Pahang FA optimis untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni dengan kehadiran 15 pemain baharu termasuk empat pemain import pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Jurulatih pasukan Dollah Salleh yang kembali membimbing skuad Tok Gajah berkata perubahan yang agak ketara perlu dilakukan pada musim ini memandangkan Pahang kehilangan ramai tonggak utama tahun lalu.

Tambah beliau, misi pertamanya adalah mencari keserasian di antara pemain, yang merupakan antara elemen penting dalam menjamin kejayaan sebuah pasukan bola sepak, walaupun tanpa kehadiran pemain ternama.

"Pada peringkat awal, kita akui wujud sedikit kesukaran tapi selepas beberapa perlawanan persahabatan terutamanya di Singapura, kita dapat lihat ada peningkatan dalam corak permainan mereka," katanya pada sesi pengenalan pemain baharu Pahang FA pada Festival Pahang Super Best di Stadium Temerloh di sini semalam.

Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dollah menambah beliau menyasarkan untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini kerana sedar dirinya menggalas tanggungjawab berat daripada peminat skuad Tok Gajah yang mahu pasukan itu kembali ke tangga teratas liga.

Empat pemain import baharu Pahang FA ialah Mohamadou Sumareh, 23, penyerang dari Gambia yang pernah menyarung jersi pasukan Perlis dan Julious Oiboh, 26, dari Nigeria yang merupakan bekas pemain Thai Honda FC dan BB-CU Thailand yang menjaringkan tiga gol pada perlawanan persahabatan di Singapura.

Dua lagi ialah Heo Jae Won, 32, pemain pertahanan dari Korea Selatan serta Fransisco Insa Bohigues, 28, pemain tengah dari Sepanyol dan pernah bermain di Indonesia sebelum ini.

Sementara itu, 11 pemain baharu Pahang FA ialah empat bekas pemain Terengganu iaitu Muhammad Zubir Azmi, 25, (pertahanan); Ahmad Nordin Alias, 32, (tengah); Joseph Kallang Tie, 29, (tengah) dan Mohamad Ashari Samsudin, 31, pemain tengah dan penyerang yang dikenali sebagai 'silent killer'.

Pemain baharu lain ialah Muslim Ahmad, 32, (pertahanan) dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, 25, (tengah/sayap) dari Kelantan; Ahmad Syamin Yahya, 27, (tengah) dan Christie Jayaseelan, 30, (tengah/sayap) dari Felda United; Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Shaari, 24, (tengah) dari Perak serta Mohd Afif Amiruddin, 32, pemain pertahanan dari Perlis.

Turut kembali menyertai pasukan Tok Gajah ialah bekas penjaga gol Wan Muhammad Azraie Wan Teh, 30, yang sebelum ini bermain bagi pasukan T-Team.

Pemain yang kekal bersama Pahang FA musim ini ialah penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias, 33, dan Mohd Saufi Mohamad, 24, serta pemain Mohd Saifulnizam Miswan, 36, Mohd Ashar Al Aafiz, 21, Mohd Faisal Mohd Rosli, 25, Matthew Thomas Davies, 21, yang merupakan ketua pasukan.

Pemain lain ialah Mohd Faizal Mohd Halim, 19, Mohd Nor Azam Azih, 22, Solomon Raj, 22, R.Dinesh, 19 dan R. Kogileswaren, 19.

-- BERNAMA