SUKAN
Papan Selaju: Mahathir dan Momo pamer peningkatan ketara

Jurulatih papan selaju kebangsaan, Mariss Khan (kiri) bersama Momo dan Mahathir di World Cup Rome 2025. - Foto MySKATE.
ROM: Dua atlet muda papan selaju negara, Mahathir Nor Daniel dan Mer Nullah ‘Momo’ Khan, semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak menyertai program pembangunan khas yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN).
Selepas menjalani latihan intensif dan menyertai kejohanan Thailand Extreme Fest 2025 di Pattaya pada Mei lalu, Mahathir, 16, dan Momo, 15, memperlihatkan aksi lebih meyakinkan di kejohanan World Cup Rome 2025 yang bermula Sabtu lepas.
Dalam pusingan kelayakan yang berlangsung pada Khamis, kedua-dua peluncur muda berjaya melakukan trik yang lebih mencabar berbanding ketika pertama kali bertanding di pentas antarabangsa di Tokyo pada 2023, sekali gus memperbaiki kutipan mata mereka.
Ketua jurulatih kebangsaan, Mariss Khan menegaskan, keperluan untuk membina fasiliti bertaraf dunia di Malaysia agar atlet negara dapat membiasakan diri dengan saiz dan jenis halangan yang digunakan dalam kejohanan antarabangsa seperti di Rom.“Apa yang membanggakan ialah mereka (Mahathir dan Momo) dapat bermain halangan-halangan yang besar walaupun tidak biasa bermain di gelanggang seperti ini.
“Jadi untuk prestasi mereka terus meningkat, mereka perlukan halangan-halangan seperti yang ada di sini di Malaysia supaya lebih yakin untuk bermain dengan lebih teknikal dengan halangan sebesar ini.” kata Mariss.

Momo Khan mampu melakukan trik frontside feeble di halangan yang lebih besar berbanding yang biasa dimainkan. - Foto MySKATE

Mahathir berjaya melakukan kickflip to backside 5050 semasa pusingan kelayakan di World Cup Rome 2025. - Foto MySKATE
Pada tahun 2023, Mahathir dan Momo yang masing-masing menduduki ranking ke-179 dan ke-181 dunia hanya mencatat 8.35 dan 7.61 mata.
Namun, di Rom, kedua-duanya mencatat peningkatan ketara dengan 18.03 dan 16.20 mata.
Mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-71 dan ke-75 daripada 93 atlet mewakili 51 negara.
Program khas untuk sukan papan selaju merupakan inisiatif khas Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE) dan MSN, yang memilih atlet bawah 16 tahun untuk menyertai program pembangunan jangka panjang, dengan misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan memburu pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami