SUKAN
Papan selaju: Malaysia perlukan fasiliti bertaraf dunia untuk lonjak prestasi atlet

Presiden MySKATE, Idroose Tambarin (kiri) bersama dengan Presiden World Skate, Sabatino Aracu di World Cup Rome 2025, Itali. - Foto MySKATE.
ROM: Malaysia masih kekurangan fasiliti latihan papan selaju yang menepati spesifikasi kejohanan antarabangsa, satu kekangan besar yang menjejaskan pembangunan atlet negara dalam sukan ini.
Ketika ini, kebanyakan gelanggang papan selaju di Malaysia tidak memenuhi piawaian kejohanan dunia, sekali gus menyukarkan atlet tempatan menyesuaikan diri apabila beraksi di pentas antarabangsa.
Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE), Idroose Tambarin menegaskan keperluan mendesak untuk membina gelanggang bertaraf dunia di Malaysia sebagai langkah mempercepatkan pembangunan atlet.
“Jika dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia, mereka mempunyai pusat latihan berpusat yang lengkap dengan gelanggang mengikut spesifikasi kejohanan dunia.“Hasilnya, dalam tempoh dua tahun, tiga atlet mereka telah layak ke peringkat suku akhir World Skate.
"Saya juga melihat mereka telah turut melahirkan pelapis baik dalam kalangan lelaki atau wanita di mana latihan berpusat dengan fasiliti lengkap ini menjadi faktor kepada pembangunan atlet berprestasi tinggi mereka" kata Idroose.
Idroose ditemui ketika menghadiri kejohanan World Cup Rome 2025 di Itali, di mana dua atlet muda negara, Mer Nullah ‘Momo’ Khan, 15, dan Mahathir Nor Daniel, 16 sedang beraksi dalam program khas.
Kedua-dua atlet itu terpaksa bergantung kepada latihan singkat di luar negara kerana Malaysia tidak mempunyai gelanggang yang setanding dengan kejohanan antarabangsa, sekali gus menyukarkan mereka menyesuaikan diri sepenuhnya sebelum bertanding.
Namun begitu, mereka berjaya mempamerkan peningkatan yang ketara dalam penampilan kedua mereka di kejohanan dunia, dengan pungutan mata yang lebih tinggi dan aksi yang lebih meyakinkan di Rom.
Program Khas MSN dengan kolaborasi MYSKATE selaku badan kebangsaan merupakan inisiatif pembangunan jangka panjang yang menyasarkan sukan-sukan baru dalam membawa misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan memburu pingat emas pertama negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami