KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan selepas ini, bakal berdepan tindakan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Ahli Lembaga telah membuat keputusan untuk memberikan hukuman kepada mana-mana pasukan yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengawal penularan wabak itu.

"Selepas ini, mana-mana pasukan gagal mematuhi SOP akan dikenakan hukuman. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL (Datuk Ab Ghani Hassan) akan keluarkan pekeliling dalam masa terdekat mengikut peraturan yang diluluskan," katanya pada sidang media dalam talian selepas mesyuarat rakan kongsi MFL kelima 2021 hari ini.

Sebelum ini, MFL terpaksa menunda lima aksi Liga Super melibatkan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan tujuh aksi Liga Premier melibatkan Kuching City FC (KCFC) berikutan beberapa pemain dan pegawai pasukan tersebut positif COVID-19 selepas Aidiladha.

MFL turut terpaksa membuat pindaan pada jadual Liga-M melibatkan semua pasukan, bagi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan liga, selain membolehkan aksi terakhir liga diadakan serentak pada hari yang sama.

Sementara itu, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut memperkenalkan tiga calon yang memenangi pemilihan sebagai wakil pasukan ke Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi penggal 2021-2025.

Mereka adalah Pengarah Johor Darul Ta'zim (JDT) Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin, Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC Mustaza Ahmad dan Pengarah Eksekutif Melaka United Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Dalam pada itu, Hamidin menegaskan bahawa MFL akan mengetatkan pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) bagi memastikan kelab berbelanja mengikut pendapatan di kala ekonomi terjejas dengan pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

"Kita perlu bertindak lebih tegas supaya mereka belanja ikut bajet... Tanpa duit yang pasti dalam kantung mereka untuk beraksi sepanjang tahun, ia akan menyukarkan lagi keadaan kewangan mereka," katanya.

Hamidin turut menjelaskan bahawa perancangan MFL bagi perjalanan Liga-M dalam norma baharu perlu cekap, justeru meminta pasukan bersedia menghadapi segala kemungkinan untuk musim akan datang kerana wabak itu tidak pasti berakhir dalam masa terdekat, manakala pemulihan ekonomi dijangka mengambil tempoh hingga tiga tahun.

Beliau juga mengulangi janjinya akan melepaskan jawatan Presiden MFL yang dipegang sejak 2019, apabila sampai masanya.

-- BERNAMA