PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia yang mewakili pasukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) mengharumkan nama negara apabila mengungguli Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia dengan tuaian lapan emas dan enam perak.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) pasukan negara diwakili oleh 12 pelajar sekolah menengah yang merupakan atlet terbaik dari seluruh negara dan tiga orang pegawai dalam pertandingan antarabangsa yang berlangsung pada 22-25 Feb itu.

"KPM sentiasa komited dalam usaha membangunkan potensi dan bakat murid dalam sukan," menurut kenyataan itu.

Menurut KPM usaha itu dilaksanakan menerusi pertandingan di pelbagai peringkat serta program sukan berimpak tinggi di lima Sekolah Sukan Malaysia (SSM), 15 Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan 612 Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara.

Pasukan negara berjaya meraih pingat emas menerusi Muhammad Faheem Haziq Mohd Hasrul dalam acara 3,000 meter jalan kaki lelaki bawah 15 tahun, Muhamad Thaqif Ukasyah Mohd Rady bagi lompat tinggi lelaki bawah 14 tahun, Randy Ryann Samson (lompat kijang lelaki bawah 16 tahun), Amirul Syakir Mohd Hanafi (100m lelaki bawah 15 tahun) dan Wan Muhammad Hariz Wan Mohd Hafiz (100m lelaki bawah 16 tahun).

Selain itu Mohammad Syahzwan Willian menyumbang emas dalam acara lontar peluru lelaki bawah 15 tahun, Nurelfira Umaira Mohd Yusuf (80m lari berpagar perempuan bawah 14 tahun) dan Amirul Syakir Mohd Hanafi (200m lelaki bawah 15 tahun). 

Pingat perak negara pula dimenangi oleh Nurelfira Umaira Mohd Yusuf menerusi 200m lari berpagar perempuan bawah 14 tahun, Mohammad Syahzwan dalam acara lempar cakera lelaki bawah 15 tahun, Randy Ryann Samson (lompat jauh lelaki bawah 15 tahun), Muhammad Syukri Nazim Mydin (800m lelaki bawah 16 tahun) dan Nur Aina Aleefa Zukli (lempar cakera perempuan bawah 14 tahun).

Muhamad Thaqif Ukasyah turut memperoleh perak dalam 90m lari berpagar lelaki bawah 14 tahun manakala Nurelfira Umaira meraih naib johan bagi acara 200m lari berpagar perempuan bawah 14 tahun dan Mohammad Syahzwan bagi lempar cakera lelaki bawah 15 tahun.


-- BERNAMA