Bekas Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menyifatkan penggantinya, Manuel Pellegrini sebagai seorang yang 'bertuah' kerana menguruskan skuad yang mantap darinya.

"Saya merasakan Pellegrini betul-betul bertuah kerana menerima skuad yang cukup kuat dan diberi peluang untuk mengukuhkannya dengan membawa masuk pemain baik yang lain," kata Mancini ketika temubual bersama CNN sebelum permainan timbal balik City dan Barcelona dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Mancini sebelum ini membawa City untuk memenangi Liga Perdana Inggeris pada 2012 buat kali pertama sejak 44 tahun lepas namun tetap dipecat hanya setahun selepas memenangi kejuaraan tersebut.

Mancini diminta mengulas kenyataan Pellegrini yang menegaskan beliau tidak merasa tekanan untuk memenangi kejuaraan setiap tahun.

"Pada pandangan saya, Manchester City cukup kuat untuk memenangi kejuaraan setiap musim, atau sekurang-kurangnya mencabar dekat," tambah Mancini, yang kini menjadi Pengurus kelab Itali, Inter Milan.

Pellegrini, yang turut membawa City untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim lepas, kini 6 mata di belakang Chelsea dan baru sahaja tersingkir dari saingan Juara Liga-Liga Eropah selepas dikalahkan Barcelona pagi tadi.

City gagal mara ke peringkat suku akhir selepas pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic menyudahkan hantaran cantik Lionel Messi untuk memastikan Barcelona menang 1-0 di Nou Camp dan seterusnya mara dengan agregat 3-1.

Keadaan ini menghangatkan spekulasi bahawa Pellegrini mungkin digantikan selepas musim ini.

Kekalahan City bermakna tiada lagi kelab dari Liga Perdana Inggeris bersaing di peringkat suku akhir Juara Liga-Liga Eropah pada musim ini.

Chelsea dan Arsenal turut terkeluar dari saingan musim ini selepas masing-masing dikalahkan Paris Saint Germain dan Monaco.