SUKAN
Pemain United terkejut dengan sokongan luar biasa peminat - Harry Maguire

Maguire mahu membalas sokongan itu dengan memberikan penyokong kenangan manis di Sepanyol. - Reuters
BILBAO: Harry Maguire mengakui bilik persalinan Manchester United terkejut dengan cara luar biasa peminat terus memberikan sokongan kepada pasukan itu walaupun melalui musim yang mengecewakan - yang mereka harap dapat akhiri dengan kejayaan dalam Liga Europa, lapor PA Media/dpa.
Perlawanan akhir sesama wakil England itu akan menemukan Manchester United dan Tottenham, masing-masing di tangga ke-16 dan ke-17 Liga Perdana Inggeris. Aksi di Bilbao ini menjadi peluang terakhir untuk menyelamatkan musim dengan menjulang trofi dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
Jika tewas di Stadium San Mames, United berisiko melalui musim pertama tanpa bola sepak Eropah sejak 2014-15 - satu tamparan besar dalam kempen paling buruk mereka di liga utama sejak tersingkir pada musim 1973-74.
Walaupun prestasi domestik United hambar, penyokong terus setia menyokong pasukan dan melaungkan nama ketua jurulatih Ruben Amorim sepanjang detik-detik sukar musim ini."Mereka benar-benar luar biasa musim ini," kata pertahanan tengah Maguire kepada agensi berita PA. "Kami para pemain sendiri terkejut dengan betapa kuatnya sokongan mereka.
"Kami telah mengecewakan mereka terlalu banyak kali. Tapi kami juga beri mereka detik-detik indah dalam Liga Europa, termasuk kenangan hebat ketika menang dalam derby di Etihad. Tapi jujurnya, sokongan mereka tetap mengejutkan saya.
"Saya selalu kata mereka antara penyokong terbaik dunia, dan tahun ini mereka buktikan kenyataan itu. Ia amat luar biasa apabila kami turun beraksi di hadapan mereka, walaupun kami tidak bermain dengan baik."
Maguire mahu membalas sokongan itu dengan memberikan penyokong kenangan manis di Sepanyol, tetapi mengakui "ia hanya akan jadi hari yang bermakna jika kami pulang sebagai juara."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami