Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan dijangka memberi nafas baharu kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang kini menghadapi kekangan kewangan.

Ini berikutan, terdapat bayangan bahawa pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berpangkalan di Wales, Cardiff City, mungkin menjadi calon paling sesuai sebagai penaja baharu NFDP, sekali gus mengurangkan kebergantungan program itu terhadap dana kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan tersebut pada sesi Townhall NFDP bersama penyokong, ibu bapa dan jurulatih yang terlibat dengan program berkenaan, malam tadi.

"Keadaan kewangan menjadi masalah besar kepada NFDP. Menerusi sesi Townhall ini, saya mahu tunjuk kepada para penaja bahawa peminat bola sepak sebenarnya banyak walaupun ranking kita ke-171 dunia dan mereka harus membantu kita menaja.

"Proses pembangunan memang memerlukan tajaan yang besar, sebab kebanyakan penaja mahu menaja apabila kita dah menang, tetapi di peringkat program pembangunan, mereka tidak mahu (taja), mereka hendak tengok dulu.

"Jadi inilah sebab mengapa kita perlu mencari penaja betul-betul mempunyai semangat kecintaan negara yang begitu tinggi. Kalau beliau boleh letak logo 'Visit Malaysia' di baju pasukan, saya yakin beliau boleh bantu kita juga di sini," katanya pada sesi itu yang berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Vincent Tan merupakan pemilik kelab Cardiff City, yang kembali beraksi dalam EPL, selepas tersingkir ke divisyen dua pada 2014.

Logo 'Visit Malaysia' dipaparkan pada bahagian hadapan jersi pasukan yang menerima jolokan 'The Bluebirds' itu, walaupun Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya telah menghentikan penajaan kepada kelab itu selepas musim 2013/14.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata pihaknya akan mencari langkah terbaik untuk memperkasa NFDP, selain mengambil keputusan mengenai masa depan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim dalam masa terdekat.

Sebelum ini, khidmat Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) negara ditamatkan serta merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan pasukan muda kebangsaan itu layak ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.

-- BERNAMA