Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying merangkul gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat di California, hari ini.

Pasangan pilihan kelima tersebut, yang menjuarai Thailand Masters, Januari lalu, melakukan kejutan apabila hanya mengambil masa 38 minit untuk menyingkirkan gandingan pilihan keempat, Marvin Emil Seldel-Linda Efier dari Jerman dengan straight set 21-19, 21-15 pada final.

Pada kejohanan yang berlangsung di Gimnasium Fullerton Titan, China, selaku kuasa besar dalam dunia badminton, membawa pulang tiga gelaran iaitu acara perseorangan dan beregu wanita serta acara beregu lelaki.

Bekas juara perseorangan wanita Sukan Olimpik London 2012, Li Xuerui bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan pemain pilihan utama, Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat dengan 24-26, 21-15, 21-11.

Gelaran beregu wanita menjadi milik Tang Jinhua-Yu Xiaohan apabila turut mengalami kekalahan set pertama sebelum bangkit untuk mengatasi beregu Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kim So Yeong, 18-21, 21-13, 21-15.

Dalam final beregu lelaki ,Ou Xuanyi-Ren Xiangyu mengalahkan wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho 16-21, 21-16, 21-17 manakala gelaran juara lelaki perseorangan lelaki menjadi milik pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun selepas mengalahkan pilihan keenam, Mark Caljouw dari Belanda dengan 14-21, 21-17, 21-16. - Bernama