KUALA LUMPUR: Pengadil hoki tempatan berdepan tindakan tegas sekiranya enggan mengadili perlawanan hoki dalam negara.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata ia termasuk penggantungan daripada mengadili mana-mana kejohanan peirngkat antarabangsa pada masa depan.

"Sesiapa yang merungut, mereka (pengadil), kita (MHC) tidak akan bawa ke peringkat antarabangsa. Kita juga mempunyai beberapa pengadil berkelas dunia tetapi bila minta mengadili perlawanan tempatan mereka tidak mahu tolong.

"Sesiapa sahaja yang tidak mahu mengadili perlawanan hoki tempatan saya akan buat surat kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) supaya mereka juga tidak dibenarkan mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa," katanya ketika sidang media di ibu pejabat MHC di sini hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan sebahagian pengadil hoki mengambil pendekatan untuk memboikot Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas timbul beberapa isu yang tidak memihak kepada mereka.

Menurut laporan itu, sebahagian pengadil berasa kecewa apabila kadar bayaran elaun yang sepatutnya diterima, diturunkan tanpa sebarang notis dan sistem pembayaran juga dilakukan terlalu lewat.

Ditanya mengenai kadar elaun yang tidak setimpal, Subahan berkata pihaknya membayar mengikut kadar yang mampu ditanggung oleh MHC.

"Pengadil ini kebanyakannya mempunyai kerja sepenuh masa. Jadi jangan fikir tugas ini sebagai tempat untuk mereka cari rezeki kerana kita juga tak paksa dan mereka datang dengan rela hati.

"Kalau mereka mencari duit di sukan ini, saya minta mereka cari sukan lain kerana di sini bukan tempat cari duit," katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan MHC memiliki pengadil yang mencukupi bagi mengendalikan MHL musim ini.

-- BERNAMA