SUKAN
Pengarah SPRM Perak dilantik pengurus Perak FA

PAFA mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai pengurus pasukan Perak FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini. - Foto Facebook Perak FA
IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai pengurus pasukan Perak FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Presiden PAFA Datuk Azhar Jamaluddin berkata pelantikan Ahmad Sabri yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan integriti diyakini akan memperkukuh pengurusan pasukan serta meningkatkan tahap profesionalisme skuad berkenaan.
"Dengan kredibiliti dan kepimpinan beliau, pasukan MySPRM-ACeIO berjaya menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja 2024, satu pencapaian yang membuktikan keupayaan luar biasa dalam pengurusan bola sepak," katanya dalam kenyataan melalui Facebook Perak FA.
Azhar berkata PAFA juga yakin pengalaman dan nilai kepimpinan Ahmad Sabri akan menjadi pemangkin penting kepada kekuatan dan profesionalisme skuad Perak FA dalam misi #RoadToSUKMA dan cabaran Liga A1 musim ini.Ahmad Sabri memegang pelbagai jawatan penting termasuk Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Ahli Lembaga Penasihat Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC) selain berkhidmat sebagai Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti PAFA.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak SUKMA Perak serta pengurus pasukan MySPRM-ACeIO yang berjaya menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2024
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami