KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bersetuju melepas dan menamatkan penggantungan selama lima tahun terhadap Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan Wan Mohd Husni Abdullah bermula esok.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata pelepasan yang berkuat kuasa pada 7.15 malam diberikan kerana berpandangan Wan Mohd Husni seorang anak muda berbakat dan berpotensi besar untuk pembangunan perkembangan sukan sepak takraw di Malaysia.

Katanya Majlis Eksekutif ASTAF telah menerima surat rayuan daripada Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Abidullah Salleh bagi pihak Wan Mohd Husni agar melepaskannya daripada hukuman penggantungan yang sedang dijalani hingga 8 Dis 2024.

"Kami telah bermesyuarat bagi menimbangkan permohonan rayuan tersebut sebagai menghargai jaminan yang diberikan Abidullah.

Kami melihat kata-kata yang diucapkan Wan Mohd Husni sehingga dijatuhi hukuman penggantungan selama lima tahun bermula 9 Dis 2019 hingga 8 Dis 2024 adalah kerana terlalu mengikut darah muda tanpa adanya pengalaman mendalam mengemudi pasukan sepak takraw negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata semasa kejadian itu juga, Wan Mohd Husni buat pertama kali diberi amanah dan tanggungjawab besar sebagai Pengurus Skuad Sepaktakraw Wanita Malaysia ke Sukan SEA Manila 2019.

Katanya ASTAF berharap Wan Mohd Husni mengambil iktibar dan menjadikan sejarah hitam yang menimpa dirinya dalam sukan sepak takraw sebagai pengajaran terbaik untuk berubah ke arah lebih positif dalam berfikir dan tindakan, demi masa depan beliau selaku pemimpin sukan di Malaysia.

ASTAF mengenakan penggantungan terhadap Wan Mohd Husni selama lima tahun bermula 9 Dis 2019 hingga 8 Dis 2024 daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan atas kesalahan disiplin pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bagaimanapun, selepas mengemukakan rayuan, penggantungan berkenaan ditarik balik pada 25 Ogos 2021 dengan syarat tertentu, namun pada 23 Jun lepas, Wan Mohd Husni kembali dikenakan semula hukuman penggantungan itu selepas didakwa melanggar peraturan ASTAF dengan memburukkan nama badan pentadbir sukan itu.

-- BERNAMA