PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkukuh penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memantau dan mengesan aktiviti haram yang membabitkan penyalahgunaan perniagaan dan permit di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu akan digerakkan secara lebih menyeluruh bersama mekanisme libat urus masyarakat.
“Libat urus serta mekanisme whistleblower dan mystery home shopper, semua itu supaya kita dapat memperkasa masyarakat untuk bertindak,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Digital bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneliti penggunaan teknologi AI bagi mempertingkatkan pemantauan dan pengesanan aktiviti tidak sah.
Menurut beliau, isu ini semakin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan memerlukan tindakan yang lebih bersepadu oleh semua agensi terlibat.
“Saya tekankan ini kerana sudah timbul keresahan yang agak meluas di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa usaha membanteras aktiviti tersebut tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya perlu melibatkan koordinasi semua agensi berkaitan.
“Hal-hal sebegini menuntut kita buat tindakan yang bersepadu oleh semua agensi terlibat,” katanya.
Beliau berkata penyelarasan boleh dibuat di peringkat tertinggi pentadbiran jika perlu, selain meminta Kementerian Komunikasi menyampaikan maklumat secara jelas kepada rakyat.
Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku.