KUALA LUMPUR: Harimau Malaya yang baru tiba di Doha dengan matlamat jelas untuk Piala Asia 2023 - bukan hanya sekadar peserta tetapi untuk mencapai sesuatu yang luar biasa, kata pemain kebangsaan Junior Eldstal.

Biarpun bakal menghadapi perjalanan mencabar di peringkat kumpulan, pemain pertahanan berusia 33 tahun itu berkata bahawa pasukan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon, yakin dengan kemampuan mereka sendiri di Doha.

Pemain Dewa United FC itu percaya mereka akan mempamerkan pendekatan berbeza selain daripada memberikan 100 peratus komitmen dalam latihan untuk menghasilkan satu keputusan yang baik dalam setiap perlawanan.

"Kita tahu kumpulan ini mencabar lebih-lebih lagi dengan kehadiran Jordan dan Bahrain yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal serta pemain laju namun kami ada taktik permainan sendiri," katanya dalam satu klip audio yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Eldstal juga menzahirkan terima kasihnya kerana terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan buat kali ini.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kerana sudah lama (Malaysia) tak layak (Piala Asia). Kami perlu sentiasa fokus. hargai pengalaman ini dan menjadi kebanggaan Malaysia," katanya.

Mengenai timbul cabaran bermain di dalam cuaca sejuk, Eldstal berkata ia bukan satu alasan kerana beberapa pemain naturalisasi atau berdarah campuran di dalam pasukan berpengalaman bermain dalam keadaan cuaca sedemikian.

Malaysia yang menamatkan penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan dalam Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.

Sebagai acara pemanas badan, pasukan bimbingan Pan Gon yang tiba di Doha pada 1 Jan lepas dijadualkan bertemu Syria dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 8 Jan ini.

-- BERNAMA