DOHA: Bola sepak ialah sukan untuk semua tanpa mengira latar belakang ataupun status, dan Raff Iskandar Erman Effendi yang merupakan peminat skuad Harimau Malaya menyedari dengan jelas mengenai perkara itu.

Adiknya Muhammad Ridzwan, 27, dilahirkan cacat penglihatan, namun mempunyai keinginan seperti peminat bola sepak tanah air yang lain, untuk berada di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, pada setiap perlawanan di dalam mahupun di luar negara.

Menyedari satu daripada impian terbesar Muhammad Ridzwan ialah untuk menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 di sini, Raff Iskandar tanpa berfikir panjang mengambil keputusan untuk terbang ke Qatar bersama adiknya.

"Bagi saya ini bukanlah cabaran, kerana kami dah biasa ke stadium di Malaysia dan dia (Muhammad Ridzwan) mahu merasai pengalaman di tempat lawan Piala Asia, lagi-lagi apabila Malaysia berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit.

"Biasanya saya akan buat simulasi guna tangan mengenai situasi permainan, contohnya ketika Arif Aiman berlari ataupun Matt Davies buat terjahan, untuk bagi dia faham apa yang berlaku. Dia mungkin tak nampak, tapi dia rasa apa yang berlaku," kata Raff Iskandar ketika ditemui di Stadium Al Janoub, malam tadi.

Malaysia memulakan kempen Piala Asia menentang Jordan pada aksi pertama Kumpulan E di sini, malam tadi (16 Jan, 1.30 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu, Muhammad Ridzwan yang mencari rezeki dengan bermain muzik berkata, beliau suka ke stadium, untuk merasai kemeriahan suasana meskipun tidak dapat melihat.

"Harapan saya kali ini sama macam semua orang untuk lihat Malaysia menang. Tetapi saya nak pemain Malaysia tahu dalam banyak-banyak 'ekor' (peminat), saya seorang yang datang nak dengar Malaysia menang, bukannya tengok dorang menang," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Raff Iskandar, 31, dan Muhammad Ridzwan yang berasal dari Perak, tiba di Qatar pagi semalam dan bercadang untuk menyaksikan ketiga-tiga perlawanan Malaysia yang akan bertemu Bahrain Sabtu ini dan juara dua kali Korea Selatan, pada 25 Jan selepas pertembungan dengan Jordan.

Mereka berdua antara ribuan peminat pasukan kebangsaan yang berada di Qatar ketika ini, sempena saingan pertandingan bola sepak terulung Asia itu.

Pasukan negara yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia, menyasarkan untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik, selepas Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ikuti berita dan info terkini tentang PIALA ASIA 2023 menerusi asiancup.bernama.com. 

-- BERNAMA