DOHA: Juara tiga kali, Arab Saudi mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas meraih kemenangan selesa 2-0 menewaskan Kyrgyzstan yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain dalam perlawanan kedua Kumpulan F Piala Asia 2023 di Stadium Ahmad bin Ali di sini malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Kekalahan itu menyaksikan Kyrgyzstan kekal tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan dan harapan skuad The White Falcon itu bergantung pada kemenangan menentang Oman pada perlawanan terakhir mereka Khamis ini, dan keputusan yang baik untuk mara sebagai antara pasukan yang menduduki tempat ketiga terbaik.

Pada perlawanan malam ini, Kyrgyzstan berdepan masalah selepas sembilan minit apabila mereka dikurangkan kepada 10 orang setelah pemain pertahanan Aizar Akmatov menerima kad merah akibat bertindak kasar terhadap pemain tengah Sami Al Naji di luar kotak penalti.

Gol pembukaan untuk Arab Saudi tiba pada minit ke-35 selepas pemain tengah Mohammed Kanno menyempurnakan hantaran lintang daripada Saud Abdulhamid yang sebelum itu melantun susulan rembatan kencang daripada Abdulelah Al Malki dari jarak jauh.

Kyrgyzstan yang diketuai oleh Stefan Tarkovic terus berdepan cabaran apabila satu lagi kad merah dilayangkan kepada pemain tengah berusia 19 tahun Kimi Merk, hanya selepas lima minit babak kedua bermula kerana mengasari pemain pertahanan Hassan Tambakti sehingga menyebabkan kecederaan dan digantikan oleh Saleh Ali Shehri.

Kanno hampir menggandakan jaringannya pada minit ke-72 apabila beliau cuba menanduk hantaran daripada Al Burayk daripada sepakan penjuru melepasi penjaga gol Tokotaev, namun tersasar dari gawang.

Menghampiri wisel penamat, anak buah Roberto Mancini meraih gol kedua melalui pemain gantian Faisal Al Ghamdi pada minit ke-77.

Pemain tengah muda itu melancarkan serangan dari tepi yang terbukti sangat kuat untuk Tokotaev yang cuba menghalang kerana bola berjaya membolosi gawang gol.

Dua pemain gantian iaitu Abdulrahman Ghareeb (sayap) dan Ali Al Bulayhi (pertahanan) mungkin tersenarai sebagai penjaring apabila masing-masing melepaskan rembatan ke arah jauh dan melakukan tandukan dari jarak dekat, namun usaha mereka diselamatkan Tokotaev.

Arab Saudi yang mengumpul enam mata di tangga teratas akan mengakhiri saingan Kumpulan F menentang Thailand (empat mata) di Stadium Education City pada Khamis ini, manakala Oman (satu mata) bertemu Kyrgyzstan di Stadium Abdullah Bin Khalifa pada hari sama.

Kali terakhir Arab Saudi muncul juara adalah pada 1996, manakala edisi 2007 ialah kali terakhir pasukan itu bermain dalam final.

-- BERNAMA