SEOUL: Sebanyak dua tonggak utama pasukan Korea Selatan yang pulih daripada kecederaan akan menyuntik semangat pasukan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 64 tahun di Piala Asia menjelang aksi pusingan 16 terakhir menentang Arab Saudi minggu ini.

Pertembungan peringkat kalah mati antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di Stadium Education City di Al Rayyan, barat Doha pada 7 malam Selasa (waktu tempatan), lapor Agensi Berita Yonhap.

Korea Selatan menamatkan aksi peringkat kumpulan sebagai naib juara Kumpulan E dengan lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri manakala Arab Saudi menjuarai Kumpulan F dengan tujuh mata daripada dua kemenangan dan satu seri.

Kedua-dua pasukan itu kekal sebagai pasukan yang tidak kalah dalam kempen Piala Asia kali ini.

Bagi Korea Selatan, antara aspek positif menjelang aksi itu ialah kembalinya pemain sayap Hwang Hee Chan dan bek kiri Kim Jin Su daripada kecederaan apabila kedua-dua pemain itu diturunkan dalam aksi menentang Malaysia.

Kedua-dua pemain berkenaan dipanggil daripada bangku simpan dan melaporkan tiada masalah fizikal selepas itu.

Hwang, yang bermain untuk Wolverhampton Wanderers dengan 10 gol musim ini, terlepas dua perlawanan pertama kerana kecederaan pada pinggul kiri.

Dalam 61 perlawanan antarabangsa, Hwang menjaringkan 12 gol, kedua tertinggi dalam pasukan itu selepas Son Heung Min.

Kim, yang memiliki 70 penampilan pula tidak dapat diturunkan untuk dua perlawanan pertama kerana kecederaan betis kiri.

Rekod pertembungan kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan Korea Selatan merekodkan lima kemenangan, lapan seri dan lima kekalahan menentang Arab Saudi.

Pertemuan terakhir mereka berlangsung pada September tahun lepas dalam aksi persahabatan di Wales dengan Korea Selatan menang 1-0 melalui gol Cho Gue Sung.

-- BERNAMA