KUALA LUMPUR: Kehangatan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman semakin dirasai apabila kedua-dua pasukan akan berentap di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, pada 10 malam waktu tempatan (2 pagi Jumaat, waktu Malaysia).

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon telah menjalani sesi latihan rasmi di stadium berkenaan pada Rabu.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah tiba di Muscat turut hadir menyaksikan sesi latihan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada awal pagi Khamis.

Skuad Harimau Malaya ketika ini mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan pada tahun lalu dan berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman jika melakar kejutan ke atas pasukan No. 80 dunia itu.

Ketika ini, skuad negara mendahului Kumpulan D dengan enam mata sementara Oman di tangga kedua dengan tiga mata.

Andai meraih enam mata maksimum, pasukan kebangsaan boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki ke fasa kelayakan Piala Dunia 2026 yang seterusnya ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.

Ini kerana setiap dua negara yang menduduki tangga teratas peringkat kumpulan kali ini akan lolos ke pusingan kelayakan ketiga sekali gus menjadi 18 negara terbaik benua Asia.