KEJOHANAN Piala Dunia Interaktif FIFA (FIWC) 2016 bakal disiarkan secara langsung buat kali pertama dalam sejarah Asia Tenggara di Astro Supersport dan Astro on the Go minggu depan.

Kejohanan edisi ke-12 itu menyaksikan 32 pemain terbaik bagi permainan video FIFA 16 membuat perhitungan di Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Senarai 32 pemain elit itu terdiri daripada 15 pemain online terbaik Playstation, 15 pemain online terbaik Xbox selain juara bertahan Abdulaziz Alshehri (Arab Saudi) dan pemenang kelayakan negara tuan rumah, Brian Jaldin (Amerika Syarikat).

Ketua Perniagaan Sukan Astro, Lee Chong Khay melahirkan rasa teruja menjadi penyiar pertama dari Asia Tenggara untuk menyiarkan liputan FIWC 2016 secara langsung.

"Disebabkan populariti E-Sukan (sukan elektronik) dan bola sepak berkembang pesat di Malaysia, kami percaya kejohanan ini akan menjadi satu lagi kejayaan sama seperti siaran E-Sukan sebelum ini yang mendapat sambutan daripada 1.6 juta kediaman termasuk kejohanan Shanghai Majors baru-baru ini," katanya.

Seperti kejohanan Piala Dunia FIFA yang sebenar, 'gamers' akan diasingkan kepada lapan kumpulan yang disertai empat pemain mengikut konsol permainan video kegembiraan.

Kemudian, dua pemain terbaik bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya sehingga aksi final yang menyaksikan Pemain Terbaik Playstation membuat perhitungan bersama Pemain Terbaik Xbox.

Antara hadiah-hadiah yang menantikan juara edisi 2016, wang tunai USD 20,000 dan pakej percutian untuk menghadiri majlis FIFA Ballon d'Or bersama lagenda bola sepak terkenal.

Perlawanan final FIWC 2016 di Apollo Theater, New York akan berlangsung pada 23 Mac ini!

Saksikan segala aksi kejohanan FIWC 2016 secara percuma hanya di Astro Supersport saluran 808 ataupun menerusi aplikasi Astro on the Go.