CROATIA mencipta kejutan apabila menewaskan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan berlangsung termasuk aksi masa tambahan sekali gus pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti pemain muda Brazil, Rodrygo manakala percubaan Marquinhos sekadar mengenai tiang gol.

Sebelum penentuan sepakan penalti itu, Brazil yang juga juara dunia lima kali tampak mendominasi keseluruhan perlawanan babak pertama dan kedua.

PIALA DUNIA 2022

Bagaimanapun, tiada gol terhasil sepanjang 90 minit perlawanan sekalipun Brazil memperoleh beberapa peluang keemasan menerusi penyerang sensasi, Neymar.

Dalam aksi masa tambahan, Brazil terlebih dahulu menceriakan penyokong mereka apabila Neymar merobek kekebalan Livakovic pada minit ke-103.

Pada ketika Brazil dilihat hampir keluar sebagai pemenang, Croatia berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain gantian, Bruno Petkovic minit ke-117.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan, sekali gus keputusan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti yang akhirnya memihak Croatia.

Dalam aksi separuh akhir, Croatia akan menentang pemenang antara Belanda atau Argentina yang beraksi dalam satu lagi pertemuan suku akhir pada awal pagi Sabtu. -Sinar Harian