MARCUS Rashford mengekalkan rekod jaringan dalam setiap perlawanan sejak tamat Piala Dunia dengan dua jaringan lewat ketika Manchester United mengatasi Charlton Athletic 3-0 untuk mara ke separuh akhir Piala EFL.

Pemain gantian, Rashford meledak dua gol untuk melengkapkan kemenangan United, selepas Antony memecah kebuntuan ketika berdepan kelab Liga Satu, Charlton pada separuh masa pertama di Old Trafford awal pagi tadi.

Charlton -- satu-satunya kelab bukan Liga Perdana Inggeris yang mara ke suku akhir -- berusaha keras untuk kekal dalam perlawanan, namun kekurangan kualiti menghadirkan masalah kepada mereka di penghujung permainan.

Skuad kendalian Erik ten Hag kini hanya memerlukan tiga lagi perlawanan untuk menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang trofi selepas mara ke separuh akhir Piala EFL buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.