Piala FA: Krisis kecederaan tidak gugat persediaan JDT hadapi aksi final menentang Sabah

Xisco mengakui prestasi semasa Sabah tidak boleh dipandang ringan, khususnya selepas kemenangan separuh akhir yang mengagumkan ke atas Selangor. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan krisis kecederaan dan penggantungan pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah FC, namun ketua jurulatihnya Xisco Munoz tidak bimbang.
Ringkasan AI
- JDT menghadapi krisis kecederaan dan penggantungan pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah FC, namun ketua jurulatih Xisco Munoz yakin skuad Harimau Selatan memadai untuk mengekalkan kejuaraan.
- Walaupun tanpa beberapa pemain penting, termasuk trio yang digantung perlawanan, JDT tetap optimis dengan prestasi semasa Sabah yang tidak boleh dipandang ringan.
- Kapten JDT, Natxo Insa, menegaskan pemain yang ada mampu memberikan impak positif dan berharap pasukan dapat terus menunjukkan prestasi terbaik tanpa mengira cabaran yang dihadapi.
"Seperti yang sering saya katakan, kami mempunyai skuad yang baik. Jadi penting untuk perlawanan esok bahawa sesiapa sahaja yang dipilih memberikan yang terbaik dan mengikut gaya permainan kami," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
JDT kini tanpa trio yang digantung perlawanan iaitu Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal manakala senarai kecederaan mereka melibatkan Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Romel Morales dan Juan Muniz.
Sementara itu, Xisco mengakui prestasi semasa Sabah tidak boleh dipandang ringan, khususnya selepas kemenangan separuh akhir yang mengagumkan ke atas Selangor.
"Kami tahu apa yang mereka lakukan dari segi taktikal. Bagaimana mereka bergerak, bagaimana keupayaan mereka dan bagaimana mereka menyingkirkan Selangor.
"Kami perlu memberikan prestasi terbaik dan yang paling penting, kami perlu sentiasa memulakan perlawanan seperti cara JDT memulakan permainan," katanya.
Dalam pada itu, kapten JDT Natxo Insa kekal positif walaupun berdepan cabaran berkenaan dan berasakan pemain yang ada mampu tampil serta meninggalkan impak.
"Ini adalah bola sepak dan kadangkala perkara buruk kepada seorang pemain adalah perkara baik kepada pemain lain.
"Kami mempunyai skuad yang besar dan kami sedang menunjukkan prestasi. Jadi kami perlu menganggapnya sebagai satu cabaran dan membuktikan tanpa mengira siapa yang bermain, pasukan masih mampu memberikan persembahan pada tahap tertinggi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


