Piala FA: Selangor, Kuching City bawa bekalan selesa ke suku akhir kedua

Pemain Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin diasak pemain Selangor FC, Zach Paul John Clough dalam perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman malam tadi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Juara lima kali Selangor FC membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Di sebalik tentangan sengit tuan rumah, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi kapten pasukan, Mohamad Faisal Abdul Halim yang memecah benteng pertahanan NSFC sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua, NSFC dikejutkan seawal minit ke-46 apabila pemain import Selangor, Chrigor Flores Moraes, mudah menolak masuk bola di hadapan gawang hasil gerakan pantas sejurus sepak mula.
Selangor terus menambah tekanan ke atas pasukan tuan rumah apabila pemain import, Zach Paul John Clough, menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56 menerusi tandukan kemas hasil hantaran Mohamad Faisal di dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol, Muhammad Azri Ghani.Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim cemerlang dengan ledakan gol keempat pada minit ke-63 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Selangor yang akan melayani kunjungan NSFC dalam perlawanan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Okt ini.
Sementara itu, Kuching City FC turut membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus.
Penyerang The Cats Wanja Ronald Ngah muncul wira apabila menjaringkan dua gol masing-masing pada minit kesembilan dan penalti pada minit ke-12 untuk pasukan pelawat selesa mendahului di babak pertama.
Ketinggalan 0-2, skuad tuan rumah bimbingan Badrul Afzan Razali cuba bangkit dengan melakukan beberapa gerakan berbahaya ke kubu lawan, malangnya tiga peluang terbaik gagal dimanfaatkan selepas percubaan tersasar dan diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.
Memasuki babak kedua pasukan pelawat menambah jaringan pada minit ke-53 menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri yang bijak memperdaya pertahanan TFC sebelum membolosi gawang lawan.
TFC memperoleh gol sagu hati selepas Yan Mabella menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67, namun Kuching City terus mengganas apabila meledak gol keempat menerusi Petrus Shitembi pada minit ke-82.
Keputusan berakhir dengan The Cats membawa bekalan selesa tiga gol menjelang aksi suku akhir kedua di Kuching pada 28 Okt.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami