KUALA LUMPUR: Selangor FC menepati ramalan melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA 2023 dengan menewaskan Sri Pahang 4-0 pada aksi kalah mati pusingan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, malam tadi.

Seawal babak pertama perlawanan, Selangor agresif menerusi beberapa percubaan sehingga hampir mendahului perlawanan menerusi rembatan dalam kawasan penalti oleh pemain import Ghana, Alex Agyarkwa namun tangkas ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Izham Tarmizi.

Pada minit ke-41, pemain tengah Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi memecah kebuntuan gol menerusi rembatan luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas Mohd Izham sekali gus meletakkan skuad itu di depan 1-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua perlawanan, Muhammad Mukhairi sekali lagi muncul wira Selangor selepas menggandakan gol kedua pasukan menerusi jaringan pada minit ke-58.

Kekalutan berlaku di kawasan kotak penalti Pahang pada minit-67,kemudian bijak dimanipulasi penyerang Selangor, Muhammad Faisal Abdul Halim apabila tenang menguis masuk bola ke gawang gol lawan.

Pahang terus dirundung malang apabila leretan bola Yohandry Orozco diselangi rembatan padu kapten Selangor, Brendan untuk gol keempat pada minit ke-72 sebelum wisel ditiup.

Di NEGERI SEMBILAN, Negeri Sembilan FC menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan pasukan Liga M3, PIB Shah Alam FC 2-0 di Stadium Tuanku Rahman Paroi, Seremban.

Negeri Sembilan memecah kebuntuan apabila tandukan Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-51 berjaya menghasilkan gol diikuti jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-80.

Di SABAH, Sabah FC berjaya menewaskan Kelantan United FC 2-0 sekali gus mara ke saingan suku akhir pada aksi berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar sebelum mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-59.

Di SARAWAK, Penang FC turut mara ke pusingan suku akhir selepas berpesta gol membenam Kuching City FC 4-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Pemain import Lubnan, Hassan Saad meletakkan skuad Harimau Kumbang kendalian Chong Yee Fatt di hadapan pada minit ke-10 sebelum tiga lagi gol diraih menerusi jaringan Adriano Narcizo (minit ke-48), Muhammad Hadin Azman (minit ke-65) serta Giovane Gomes pada masa kecederaan.

Dengan berakhirnya empat perlawanan pusingan 16 terbaik Piala FA sekali gus menyaksikan lapan pasukan telah mengesahkan tempat ke suku akhir yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini.

Pada aksi suku akhir nanti, juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dijadual bertemu Penang FC, Terengganu FC bertemu Kelantan FC, Sabah FC bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC serta Selangor FC bertemu Negeri Sembilan FC.

-- BERNAMA