JUARA 2014, Pahang tersingkir daripada saingan Piala FA apabila diaibkan pencabar Liga Perdana, Sime Darby 1-0 di Stadium Darul Makmur.

Pahang FC memulakan aksi dengan langkah kiri apabila Sime Darby memperolehi gol seawal minit ke-6. Syed Sobri Syed Mohammad berjaya menandukan masuk sepakan penjuru Mohd Rafizi Hamdan untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Sime Darby hampir menggandakan kedudukan menerusi pemain import Mataeo Roskam, walaupun berjaya menggelecek dua pemain di dalam kotak penalti namun sekadar menyepak lemah ke arah penjaga gol, Muhammad Saudi Mohd.

Tuan rumah mula menemui rentak dan mencipta beberapa gerakan menarik pada 15 minit terakhir babak pertama. Peluang terbaik Tok Gajah untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-37, namun hantaran rendah Mohd Faisal Abd Halim di depan pintu gol gagal disambar rakan-rakan.

Sime Darby kemudian dipaksa berhempas-pulas mengekang asakan tuan rumah sebaik permainan bersambung pada separuh masa kedua.

Pada minit ke-50, rembatan deras German Pacheco memaksa Muhammad Faridzuean Kamaruddin merebahkan badan untuk menafikan percubaan itu.

Walaupun menguasai sebahagian besar baki permainan, Pahang tidak cukup kreatif untuk menembusi pertahanan lawan. Situasi ini memaksa Ahmad Shaharuddin Rosdi mempertaruhkan Dalibor Volas bagi menajamkan barisan serangan.

Pada penghujung perlawanan, penyerang Pahang, Mohd Shafie Zahari mempunyai peluang keemasan untuk menyumbat gol, tetapi tindakan penyudahnya kurang berkesan.

PKNS bangkit, tundukkan Felda United

Tiga gol dalam masa 20 minit pastikan PKNS FC layak ke pusingan seterusnya ketika menundukkan Felda United 3-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Penyerang Francis Forkey Doe meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit ke 17 ketika Felda United menguasai separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, PKNS membalas dengan tiga jaringan tersendiri dalam tempoh 20 minit bermula minit ke-50.

Pemain tengah Hadin Azman meledakkan gol kedua The Fighters namun ia gagal beri inspirasi kepada pasukannya menyelamatkan perlawanan.

The City Boys singkirkan anak buah Dollah Salleh

Dollah Salleh terpaksa terima hakikat tersingkir awal daripada saingan Piala FA ketika Kuala Lumpur mencatat kemenangan 2-0 yang cukup memberangsangkan.

Anak buah Ismail Zakaria yang diberi jolokan The City Boys mengekalkan rekod tanpa kalah menerusi gol Fahrul Razi Kamaruddin dan Hafiz Johar pada separuh masa pertama.

Keputusan lain:

Sabah 2-1 Angkatan Tentera Malaysia

Perak 1-0 Kuantan FA