Harapan Malaysia untuk ke final kejohanan Piala Thomas 2016 kecundang apabila pemain perseorangan ketiga negara, Chong Wei Feng tewas kepada pemain Denmark, Emil Holst.

Dalam aksi separuh akhir di Kunshan, China itu, Wei Feng kalah kepada Holst dengan 15-21, 18-21, menjadikan kedudukan mata 2-3.

Terdahulu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memperoleh mata pertama untuk Malaysia apabila menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen dengan straight set 23-21, 21-18.

Pasangan beregu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula menyumbangkan mata kedua untuk Malaysia apabila mengalahkan pasangan beregu, Mathias Boe-Mads Conrad-Petersen juga dengan straight set 21-18, 21-18.

Bagaimanapun, pemain perseorangan kedua Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tewas kepada Hans-Kristian Vittinghus dengan 18-21, 18-21.

Pasangan beregu kedua, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-10, 8-21, 13-21.

Sementara itu, Indonesia mara ke pusingan akhir kejohanan itu selepas menewaskan Korea Selatan, 3-1, dan akan bertemu Denmark pada Ahad ini.