KUALA LUMPUR: Skuad boling padang kebangsaan yakin untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan bagi kedua-dua kategori senior dan bawah-25 tahun (B-25) pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 dan Bawah 25 Tahun (B-25) ke-13 di Pattaya, Thailand bermula 3 hingga 10 Mac ini.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata pemain negara sudah bersedia untuk mencapai misi berkenaan walaupun dijangka mendapat tentangan sengit daripada pasukan tuan rumah, India dan Filipina pada edisi kali ini.

Beliau menzahirkan keyakinan tinggi itu berdasarkan latihan dan simulasi yang dijalankan oleh pasukan negara sejak beberapa bulan lepas.

"Tidak hanya latihan malah PLBM mempunyai proses pemilihan yang ketat kerana sejak dua tahun lepas, kita telah memperkenalkan sistem ranking bagi memudahkan proses pemilihan atlet diserap ke dalam skuad kebangsaan.

"Ini bermakna, mereka yang dipilih adalah berdasarkan merit dan telah menonjolkan prestasi terbaik dalam kejohanan tertentu. Oleh itu, dengan gandingan pemain lama dan baharu, saya yakin kita boleh mencapai misi itu," katanya selepas melawat Wisma Bernama di sini hari ini.

Pada Kejohanan Asia ke-14 di Ipoh, Perak tahun lepas, Malaysia mengekalkan dominasi sebagai kuasa besar boling padang benua ini, apabila merangkul gelaran Asia kesembilan selepas meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Bagi kategori B-25 yang diadakan serentak dengan Kejohanan Asia itu, Malaysia meraih tiga emas, dua perak dan sebutir gangsa untuk muncul juara keseluruhan.

Dalam perkembangan lain, Awalan yang juga Presiden Persekutuan Boling Padang Asia berkata, beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia bagi memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting yang bakal menyemarakkan lagi pembangunan sukan itu di Malaysia dan Asia.

Satu daripadanya adalah berkaitan kerjasama dengan syarikat pengeluar bola dan barangan boling padang terbesar dunia, Henselite yang dijangka menaja secara berterusan bola, peralatan dan pakaian untuk pemain di Malaysia, sebagai langkah mengembangkan jenamanya di rantau Asia.

"Selain itu, ada beberapa perkara lagi yang belum dimuktamadkan dan kita harap dapat memuktamadkannya bagi menyemarakkan lagi pembangunan sukan boling padang Malaysia," katanya.

-- BERNAMA