SUKAN
PMR 2025 Perak: Pertandingan lumba ski jet medan kelayakan Sukan SEA Thailand

Peserta lumba ski jet beraksi pada pertandingan pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront, Lumut, 14 Jun 2025. --fotoBERNAMA
LUMUT: Lebih daripada sekadar acara sukan, pertandingan ski jet sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront turut menjadi pentas pemilihan atlet yang bakal mewakili negara ke Sukan SEA 2025 di Bangkok hujung tahun ini.
Berlatarkan lokasi strategik dengan pemandangan pantai dan laut terbuka, perlumbaan itu bukan sahaja mencuri tumpuan pengunjung malah menyemarakkan suasana PMR bertemakan 'Pendidikan Tinggi, Pemacu Negara MADANI'.
Penganjur aktiviti sukan air lasak itu, Norfirdaus Rafie berkata idea menganjurkan perlumbaan timbul selepas pihaknya dijemput oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, selaku kementerian peneraju PMR 2025 Perak, untuk memanfaatkan kawasan perairan di Lumut bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
"Pada asalnya, kita bercadang mengadakan perarakan (di laut menggunakan ski jet) untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri tetapi apabila saya melihat ia sekadar perarakan, perkara itu saya rasa tidak memberi kerancakan pada program ini."Oleh itu, saya mencadangkan agar program ini dilancarkan dengan aktiviti perlumbaan bermakna ia melibatkan pertandingan menang dan kalah," katanya kepada Bernama semalam.
Norfirdaus, yang pernah meraih pingat perak pada edisi Sukan SEA 2023 di Kemboja dalam acara sukan air itu, berkata perlumbaan berkenaan juga menjadi platform saringan penting bagi proses pemilihan atlet ski jet kebangsaan menjelang temasya dwitahunan berprestij itu.
"Setakat hari ini, yang sudah mendaftarkan penyertaan adalah lebih 20 buah ski jet dari luar Perak malah kebanyakan peserta ini adalah dari Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.
"Ini juga merupakan antara persiapan untuk mereka beraksi ataupun melayakkan diri untuk ditapis bagi mewakili Sukan SEA di Bangkok nanti," katanya yang juga bakal menyertai acara saringan bagi kelayakan sukan air lasak itu di Thailand.
Pertandingan sempena PMR 2025 Perak dijadual berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad membabitkan tiga kategori utama iaitu 4 Stroke Roundbound Open, 4 Stroke Endurance Open dan 1100 Roundbound Open dengan setiap perlumbaan terdiri daripada 15 pusingan sejauh 800 meter dalam tempoh sekitar 20 minit.
Bagi menjamin keselamatan peserta dan penonton, Norfirdaus berkata lima ski jet marshal ditugaskan dengan kerjasama Polis Marin bagi memastikan kelancaran aktiviti sepanjang perlumbaan itu.
Menariknya, penganjuran kali ini turut mengimbau kenangan lama kerana Lumut Waterfront pernah menjadi lokasi perlumbaan ski jet sempena Pesta Air Lumut pada 1997.
"Sebenarnya, kali terakhir pertandingan ini kita buat di tapak yang sama ialah pada tahun 1997, sewaktu zaman Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, jadi apabila hari ini kita buat lagi, ia menyemarakkan semula ingatan untuk lumba ski jet di Lumut ini.
"Jadi hari ni saya cuba untuk bangkitkan semula sukan ini untuk diperkenal kepada orang ramai," katanya.
Nurfirdaus juga berharap kehadiran pengunjung ke PMR 2025 membuka mata masyarakat tentang potensi sukan ski jet di Malaysia serta memperlihatkan kemampuan atlet tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
"Harapan saya agar masyarakat dapat melihat potensi Malaysia dalam sukan ski jet setanding dengan negara serantau seperti Thailand," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami